Tuesday, November 29, 2011

Analisa PRU-13: PKR harus diberi laluan di Terengganu

Perkhabaran yang dilaporkan oleh media massa kawalan BN yang memperlihatkan rundingan kerusi PR tidak dalam suasana aman, dipenuhi dengan kecaman sesama sendiri dan seakan wujud ketidaksefahaman antara komponen PR.

Namun, dalam rundingan kerusi pertentangan pendapat dan pandangan adalah perkara lumrah asalkan ia berakhir dengan suatu kata putus yang sepakat.

Walaupun menyentuh jauh di pantai timur semenanjung, ada perkhabaran-perkhabaran tidak rasmi menyatakan keengganan PAS Terengganu memberi laluan kepada PKR bertanding sekurang-kurangnya 10-15 kerusi dun. Ia agak mengejutkan dan diharap dapat diselesaikan secara muafakat.

Secara fakta, Terengganu mempunyai 32 kerusi dun dan lapan kerusi parlimen. PAS memenangi lapan kerusi dun dan selebihnya oleh Umno-BN (MCA menang di dun Bandar).

Jika PAS mahukan kemenangan dan menubuhkan kerajaan negeri di Terengganu, seharusnya muafakat PR itu wajar diperkukuhkan dengan memberi laluan PKR bertanding di banyak kerusi dun. Jika rakyat Terengganu boleh memilih Umno (yang tidak Islamik, nasionalis Melayu) adalah tidak mustahil bagi rakyat Terengganu untuk memilih PKR yang bersifat multiracial dan moderate (pertengahan) iaitu duduk di antara Umno dan PAS.

PAS Terengganu seharusnya tidak perlu merasa tergugat atas permintaan demokratik PKR Terengganu. Ia wajar dilakukan demi mencapai kemenangan bergaya PR di Terengganu. Seandainya PAS berjaya mengekalkan kemenangan lapan dun sediada, harapan menambah kemenangan sewajarnya datang dari PKR. Tambahan sembilan lagi kerusi sekiranya diberi kepada PKR memungkin sebuah kerajaan negeri baru bakal ditubuhkan selepas PRU-13 akan datang.

Akan tetapi jika PAS Terengganu tetap kekal dengan 'ketegasan' atau kedegilan, maka matlamat kemenangan untuk menubuhkan kerajaan negeri akan terus menjadi mimpi dan PAS akan kekal sebagai pembangkang di Terengganu.


Monday, November 28, 2011

Kongres Nasional 2011: ke arah memacu kemenangan!

Kongres Nasional 2011 yang berlangsung di Pulai Spring Resorts, Johor Bahru merupakan kongres terakhir sebelum PRU-13. Walaupun jauh di hujung semenanjung, namun kehadiran para perwakilan dan pemerhati dari Cabang Jempol begitu memberangsangkan. Ini adalah komitmen sebagai menunjukkan semangat serta kesungguhan menghadapi PRU-13.

Kemungkinan besar PM, Najib Razak akan membubarkan parlimen selepas Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung ketika ini (29 Nov-3 Disember 2011). PRU-13 dijangka berlaku seawal Januari 2011 atau Mac 2011.

Kebetulan hari kemuncak Kongres Nasional 2011 pada 27 November juga hari Maal Hijrah 1433. Ia memberi satu signifikan yang kuat kepada penghayatan sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW mengembangkan ajaran Islam.

Kupasan oleh Setiausaha Agung PKR, YB Saifuddin Nasution Ismail cukup mengesan pada setiap jiwa perwakilan dan pemerhati yang mendengar ucapan penggulungan beliau. Sejarah perjuangan Rasullah SAW dikaitkan dengan perjuangan KEADILAN yang kental diasak oleh gerombolan Umno sebagaimana yang dilakukan oleh kafir Quraisy. Tindakan-tindakan tidak demokratik Umno dalam menghalang kebenaran perjuangan KEADILAN telah disamakan sebagaimana tindakan-tindakan kekejaman kjafir Quraisy yang kental menghalang dakwah Rasullah SAW. Ia cukup membayangkan bahawa PRU-13 ini adalah medan terbaik PKR dan Pakatan Rakyat menumbangkan gerombolan Umno-BN!

Lebih mengujakan semangat adalah jumlah kehadiran ramai para perwakilan dan pemerhati kongres. Pada hari kemuncak kongres, kehadiran kongres adalah 57% daripada jumlah perwakilan keseluruhan iaitu lebih 1,400 orang daripada 2,300 orang perwakilan. Ini adalah angka yang membuktikan komitmen yang memberangsangkan para anggota PKR seluruh negara. Ia lebih baik daripada kehadiran perwakilan dalam Perhimpunan Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang berlangsung beberapa bulan lepas yang hanya mencatatkan kehadiran hanya 15% pada hari kemuncak perhimpunannya!

Gerombolan Umno-BN di Negeri Sembilan telah menyedari kepincangan politik dalam organisasinya tidak kira samada dalam Umno, MIC, MCA dan Gerakan. Persaingan dalam mendapatkan kerusi-kerusi parlimen dan dun Negeri Sembilan antara MCA dan Gerakan bukan menjadi rahsia sulit lagi. Tumpuan kedua-dua parti ini adalah kawasan-kawasan dun majoriti Cina yang 98% telah dimenangi oleh PR. Begitu juga antara MIC-PPP-Umno khususnya untuk kerusi Parlimen Telok Kemang, Parlimen Jempol, Dun Port Dickson dan Dun Jeram Padang.

Ada khabar-khabar tidak rasmi risikan menyatakan kerusi-kerusi parlimen dan dun Umno-BN yang mempunyai pemilih Melayu bawah 60% dan pemilih bukan Melayu sekitar 40% berkemungkinan besar akan dimenangi oleh PR. Kerusi-kerusi yang disebut bakal dimenangi oleh PR dalam PRU-13 nanti adalah Parlimen Jempol dan Parlimen Kuala Pilah. Manakala kawasan-kawasan dun adalah Pertang, Klawang, Chennah, Juasseh, Pilah, Johol, Senaling, Jeram Padang, Palong, Linggi, Labu dan Rantau. Kawasan dun yang dimenangi PR dijangka kekal dimenangi oleh PR.

Beberapa kawasan Parlimen dan Dun yang dijangka kekal dimenangi oleh Umno ialah Dun Sungai Lui, Gemas, Seri Menanti, Bagan Pinang, Lenggeng, Serting dan Kota. Manakala kawasan parlimen yang dijangka kekal dimenangi Umno adalah Jelebu, Rembau dan Tampin.

Beberapa dun seperti Chembong dan Gemencheh potensi kemenangan antara PR dan BN adalah 50-50.

Harus diingat bahawa jika berlaku kemenangan PR di Parlimen Jempol dan beberapa dun seperti Palong, Jeram Padang dan Bahau ia adalah gambaran besar bahawa Negeri Sembilan telah ditawan oleh PR!

Tuesday, November 8, 2011

Projek Fidlot: Najib, Noh Omar bohong pinjaman RM250 juta

KUALA LUMPUR 8 Nov: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa tindakan tata tertib dikenakan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar kerana berbohong di Parlimen.

NONEMenurut Rafizi (gambar kiri), pembohongan itu berhubung peruntukan RM250 juta wang rakyat menerusi projek National Feedlot Corporation (NFC) yang diberikan kepada keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Najib pada 1 November lalu memberitahu Parlimen setakat ini hanya RM181.9 juta daripada peruntukan RM250 juta disalurkan kepada NFC, syarikat milik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

Sementara Noh Omar pada 31 Oktober lalu berkata, RM250 juta kepada NFC belum disalurkan sepenuhnya.

Sedangkan kata Rafizi, rekod kewangan NFC menunjukkan semua RM250 juta itu disalurkan sepenuhnya kepada Shahrizat sebelum 31 Mac 2009 lagi.

“Rekod kewangan NFC menunjukkan pinjaman pertama sejumlah RM130 juta telah diambil dalam tahun 2008.

“Pada 31 Mac 2009, NFC membuat drawdown kedua berjumlah RM120 juta yang dimasukkan terus ke akaun Maybank milik NFC,” kata Rafizi dalam satu kenyataan media.

NFC sebelum ini mencuri perhatian ramai apabila ia dikendalikan syarikat Agro Science Sdn Bhd yang dimiliki suami Shahrizat, Datuk Mohamad Salleh.

Syarikat itu sepatutnya membekalkan 60 ribu ekor lembu dalam masa lima tahun di bawah RMK 9 namun dalam tiga tahun pertama operasinya, ia hanya mampu membekalkan 8,016 ekor lembu.

Menurut Rafizi, kerajaan BN dijangka melupuskan hutang syarikat Shahrizat dengan kerajaan kerana operasi ternakan lembu syarikat itu rugi besar dan tidak mampu membayar kembali pinjaman yang diberikan Kerajaan Pusat.

“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, NFC mengalami kerugian sebanyak RM7 juta (2008) dan RM11 juta (2009),” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

“Jika ini berterusan, kerajaan pusat tidak ada pilihan lain kecuali melupuskan pinjaman RM250 juta yang diberikan kepada NFC seperti amalan sebelum ini yang membabitkan Perwaja dan syarikat-syarikat berkepentingan lain,” kata Rafizi.

Kerugian besar itu juga berpunca tindakan Shahrizat memberikan diskaun besar kepada restoran mewah milik keluarganya sendiri yang membeli daging lembu daripada NFC.

“Tindakan ini bertentangan dengan prinsip tata kelola yang baik apabila NFC yang dibiayai wang rakyat memberi subsidi kepada restoran mewah yang dimiliki oleh keluarga seorang menteri,” kata Rafizi.

Monday, November 7, 2011

Makkal Ossai: Parlimen bubar 11 November, PRU-13 pada 10 Disember

(Keratan muka depan akhbar Makkal Ossai 8 Nov 2011)

Apakah benar khabar-khabar politik yang heboh diperkatakan ini bakal berlaku dalam beberapa hari ini?

Ia adalah suatu perkara yang menarik untuk dibicarakan dalam sembang-sembang politik khusus buat para pemerhati politik termasuklah rakyat biasa sekalipun kerana suasana kali ini telah memperlihatkan 'kepekaan luarbiasa' masyarakat umum terhadap perkembangan politik semasa negara.

Keadilan Jempol sentiasa bersedia dalam menghadapi pilihanraya umum sekiranya andaian yang dilontarkan oleh Makkal Ossai ini benar-benar menjadi kenyataan. Gerak kerja yang agresif bermula sejak tahun 2009 lalu dijangka mampu membuahkan hasil yang bermakna dalam perjuangan Keadilan Jempol membela nasib dan hak semua warga peneroka Felda di seluruh Jempol.

Kali ini, Jempol bakal menjadi medan penentu kepada hala tuju PR dan BN di Negeri Sembilan dalam PRU-13 akan datang. Sebagaimana yang telah diungkapkan dalam posting lalu, sekiranya Parlimen Jempol dan semua dun di dalamnya dimenangi oleh PR, itu bermaksud Negeri Sembilan bakal menjadi negeri PR.


Thursday, November 3, 2011

Sembang Kedai Kopi: Perebutan kerusi Jeram Padang dikalangan pimpinan MIC NS?








Namun, kemenangan Adun Jeram Padang, VS Mogan dikhabarkan sedang 'terancam' gara-gara ada beberapa individu yang boleh dikatakan adalah yaang berada dalam kepimpinan MIC Negeri Sembilan! Secara mudahnya, telah ada yang mencari tempat selamat untuk kembali berada dalam senarai Exco kerajaan negeri sekiranya BN berjaya mengekalkan kemenangan di Negeri Sembilan.

Khabar-khabar tak rasmi yang sedang digebangkan menyatakan Pengerusi MIC Negeri Sembilan telah dikatakan ingin kembali bertanding di Jeram Padang. Tambahan maklumat lagi, ketika ini hubungan antara Adun Jeram Padang dan Pengerusi MIC NS tidak mesra gara-gara hasrat politik tersebut. Paling kritikal sebagaimana yang disebut oleh pemberita khabar MIC di Jempol khususnya di Jeram Padang telah terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan VS Mogan dan kumpulan T.Rajagopalu.

Pertentangan ini bukan lagi menjadi suatu rahsia tetapi telah kencang diperkatakan sehingga mendapat pengetahuan MB Negeri Sembilan. Ruang dan peluang ini harus dimanfaatkan oleh jentera PKR untuk mengukuhkan pengaruh dan kekuatan di Jeram Padang. Pertentangan politik dalaman yang berlaku dalam MIC ini bakal berlarutan kerana sebelah pihak ingin mempertahankan kedudukan manakala sebelah pihak lagi sedang giat melobi untuk meletakkan diri menjadi calon.

Kesan pertentangan tersebut terbukti dalam beberapa program anjuran ADUN Jeram Padang tidak dihadiri oleh Pengerusi MIC NS walaupun dikhabarkan telah mendapat jemputan rasmi. Tindakan tersebut membuktikan krisis dalaman tersebut sedang memarakkan perpecahan.

Mungkinkah Jeram Padang bakal menyaksikan penolakan mutlak MIC dari peta politik di Negeri Sembilan dalam PRU-13 nanti?