Friday, October 7, 2011

Penternak Saman Kerajaan RM1 juta!

SEREMBAN 21 Sept. - Tiga penternak lembu hari ini bertindak memfailkan saman RM1 juta terhadap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana mendakwa ternakan mereka terjejas selepas dibekalkan enam ekor lembu yang dijangkiti penyakit kuku dan mulut.

K. Tamilselvan, C.P. Krishnan dan M. Nganersegaran, (Gambar)dari Jempol dekat sini selaku pihak plaintif memfailkan saman tersebut melalui dua peguam mereka, T. Kumar dan Abdul Nasir Abdul Aziz di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam saman tersebut, mereka menamakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan dan Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Soeraya Norsham sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Turut disenarai sebagai defendan keempat hingga keenam ialah Penolong Ketua Pengarah jabatan yang sama, Dr. Salmiyah Tahir bersama dua kakitangannya, Mohamad Abdullah dan Latip Yasim.

Kumar memberitahu pemberita, anak guamnya mengambil tindakan itu kerana tertekan dengan tindakan pihak defendan yang gagal memberikan rawatan awal terhadap enam ekor lembu yang diterima daripada Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu Gemencheh menerusi program Ternakan Bekalan Trust 2010 pada 16 Disember tahun lalu.

Katanya, selepas enam hari menerima haiwan tersebut, anak guamnya yang masing-masing menerima dua ekor lembu mendapati ternakan itu menunjukkan simptom dijangkiti penyakit mulut berbuih, berair dan tidak boleh makan lalu memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Jempol untuk diperiksa.

''Pada 27 Disember 2010, Jabatan Perkhidmatan Haiwan mengesahkan enam ekor lembu berkenaan positif dijangkiti penyakit kuku dan mulut tetapi mereka gagal memberikan rawatan yang sesuai hingga menyebabkan haiwan berkenaan mati.

''Malah, penyakit itu turut menjangkiti haiwan ternakan lain milik plaintif sehingga menyebabkan kematian haiwan-haiwan terbabit,'' katanya.

Berikutan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas sebanyak RM842,000 bagi sejumlah 147 ekor lembu yang mati selepas dijangkiti penyakit itu, ganti rugi kehilangan pendapatan daripada hasil tenusu sehingga Mei 2011 (RM88,000) dan kos perubatan (RM21,000).

Selain itu, mereka menuntut ganti rugi am, faedah lapan peratus di atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh dan kos guaman.

No comments: