|
Pemandangan Bukit Jeram Padang yang termasuk dalam kawasan Hutan Simpan KEKAL Jeram Padang Selatan. |
Penduduk di sekitar Bahau, Taman Bahau, Taman Desa Puteri, Pekan Jelai dan beberapa kawasan kampung & ladang utama sekitar lingkungan 10 kiliometer persegi pasti dapat melihat jajaran Bukit Jeram Padang dan Bukit Jeram Padang Selatan yang berubah wajah menjadi kawasan gondol!
Ketika ini kawasan jajaran Bukit Jeram Padang dan Jeram Padang Selatan ini sedang berlaku aktiviti penanaman pokok sawit dan getah.
Mungkin ramai tidak menyedari bahawa jajaran bukit ini adalah kawasan Hutan Simpan Kekal Jeram Padang Selatan. Agak luar biasa kerana sebuah tanah yang berstatus Hutan Simpan Kekal telah bertukar keadaan menjadi kawasan tanaman sawit dan getah. Jika benar ia telah bertukar status menjadi tanah pertanian, apakah kerajaan negeri tidak menggantikan kawasan baru bagi kawasan Hutan Simpan Kekal Jeram Padang Selatan ini? atau sebaliknya yang berlaku iaitu pelanggaran status tanah tersebut sebagai hutan simpan kekal oleh pihak-pihak tertentu termasuk kerajaan negeri!
Jika itu berlaku, adalah wajib Menteri Besar-Mohamad Hasan, Adun Jeram Padang-VS Mogan dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan. Pihak-pihak ini wajar menyatakan sebab-sebab rasional kawasan hutan simpan kekal ini dengan sengaja dan terang-terang diceroboh!
|
Pemandangan Bukit Jeram Padang
yang gondol dari arah Taman Bahau |
Pihak kami bukan sekadar membuat serangan rambang dan andaian-andaian politik semata-mata. Kami turut datang membuat tinjauan bersama Setiausaha Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS) yang turut mengesahkan pihak-pihak tertentu telah dengan sengaja melanggar akta berkaitan Hutan Simpan Kekal.
Untuk memastikan tinjauan ini disokong oleh maklumat-maklumat tepat, pihak kami telah mendapatkan Draf Pembangunan Daerah Jempol Bagi Tahun 2001-2020 dan merujuk Buku Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2001-2020 dari Majlis Daerah Jempol pada hari yang sama.
Sebelah kiri ini adalah peta bagi Daerah Jempol yang telah diperolehi dari Jabatan Pemetaan. Peta ini kami beli sekitar bulan Julai 2012 lalu. Berdasarkan maklumat pada peta tersebut, ia telah diterbitkan pada tahun 1997.
Jelas tertera pada peta tersebut (berwarna putih) kawasan Hutan Rizab KEKAL Jeram Padang Selatan. Kami akui peta ini tidak memaparkan kawasan-kawasan baru yang wujud hasil pembangunan di sekitar Bahau dan Jeram Padang.
Malah Taman Bahau atau Taman Desa Puteri tidak ada dalam peta ini. Namun ia agak bagus untuk kami merujuk kawasan yang dinamakan Hutan Rizab Kekal Jeram Padang Selatan. Kami masih menyiasat secara terperinci waktu dan garis masa berlakunya aktiviti-aktiviti penebangan hutan di kawasan tersebut termasuk pihak-pihak yang terlibat samada pihak kerajaan negeri, jabatan-jabatan berkaitan, kontraktor-kontraktor pembalakan atau pemaju-pemaju tanah.
Gambar di atas menunjukkan Rajah Pembangunan Perhutanan bagi seluruh Negeri Sembilan 2001-2020. Ia memaparkan kawasan-kawasan hutan simpan, hutan simpan kekal, kawasan tadahan air dan empangan termasuk cadangan pembinaan empangan baru.
Beberapa kawasan hutan simpan kekal seperti Hutan Simpan Kekal Pasoh, Serting,Tebong dan Gallah dipaparkan. Terdapat juga beberapa kawasan yang disebut sebagai hutan simpan seperti Jelai-Gemas dan Pelangai.
Lebih mengesahkan adalah rajah tersebut masih memaparkan kawasan Hutan Simpan KEKAL Jeram Padang Selatan dan Hutan Simpan KEKAL Jeram Padang Utara. Gambar di bawah telah dibesarkan untuk tatapan semua. Walaupun pencerobohan terancang ini telah lama berlaku atau disebut sebagai 'kes lama', namun ia memberi gambaran ketidakpekaan pihak-pihak berwajib dalam memelihara hutan simpan kekal yang menjadi khazanah negeri ini.