Saturday, December 27, 2008

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Jaafar Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) pada kira-kira pukul 11.45 pagi ini. Baginda berusia 86 tahun.

Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul RahmanSetiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norzam Mohd Nor yang membuat pengumuman itu di HTJ berkata Almarhum baginda berada dalam keadaan tidak sihat pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

"Baginda mengadu kurang sihat dan sakit kepala pada pukul 8.10 pagi dan pihak HTJ telah dihubungi dan dua Pakar Perunding Kanan HTJ, Datuk Dr Tarmizi Thayaparan dan Datuk Dr K. Sree Raman telah bergegas ke Istana Hinggap di Seremban untuk memberikan rawatan kepada Tuanku,' kata beliau dalam sidang akhbar khas mengumumkan kemangkatan baginda di Bilik VIP HTJ hari ini, lapor Bernama.

Turut hadir ialah anggota kerabat diraja Negeri Sembilan, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zainal Arifin Omar.

Norzam berkata ketika dua pakar itu tiba di Istana Hinggap pada jam 8.25 pagi, keadaan baginda terlalu lemah walaupun sedar dan selepas melihat keadaan itu, dua pakar berkenaan mengesyorkan supaya baginda di bawa ke HTJ untuk rawatan segera.

"Berdasarkan itu, baginda telah dibawa ke HTJ dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pelbagai usaha telah dilakukan oleh doktor pakar termasuklah memberi rawatan kecemasan.

"Saya ingin memaklumkan di sini bahawa Tuanku Ja'afar telah mangkat pada pukul 11.45 pagi di HTJ," katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa jenazah Almarhum baginda akan dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah petang ini untuk majlis penghormatan terakhir serta menunggu kepulangan anakanda baginda yang masih berada di luar negara.

Berkabung 40 hari

Katanya jenazah Almarhum baginda akan ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat Diraja, pemimpin dan orang ramai. Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan pada hari Isnin selepas solat asar.

Sehubungan itu, Norzam berkata tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari, bermula hari ini.

"Semua premis termasuk pejabat kerajaan dan bangunan hendaklah mengibarkan bendera negeri separuh tiang dalam tempoh tersebut. Dalam tempoh berkabung itu juga, semua kakitangan kerajaan dikehendaki memakai songkok berlilit putih manakala wanita memakai lilitan putih di lengan.

"Semua majlis rasmi kerajaan akan ditangguh dalam tempoh tujuh hari. Premis pusat hiburan dan aktiviti keraian juga hendaklah ditangguhkan selama tujuh hari bermula hari ini,' katanya.

Katanya Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini bercuti di London telah dimaklumkan mengenai kemangkatan Tuanku Ja'afar pagi ini dan dijangka tiba di sini pada jam 10 pagi esok.

Wednesday, December 17, 2008

Peneroka Boleh!!



Pada 13/12/2008 PKR Jempol telah melakukan lawatan kerja di felda Palong 7 bagi meninjau perkembangan program tanam semula.Tinjauan mendapati tanaman getah bagi peneroka yang terlibat dengan tanam semula sendiri menunjukkan hasil yang memberangsangkan




Walaubagaimanapun peneroka yang terlibat dengan tanaman semula Felda hasil tanaman mereka terbantut seolah-olah "hidup segan mati tak mahu"
Ini menunjukkan peneroka sebenarnya mampu untuk membangunkan tanah mereka sendiri.Peneroka mampu melepaskan diri daripada menjadi hamba ditanah sendiri.Ikuti perkembangan seterusnya rintihan peneroka di Felda Palong 7

Friday, November 14, 2008

Lawatan Kerja PR Jempol



Satu lawatan kerja Pakatan Rakyat di seluruh DUN Palong telah diadakan pada 25hb September 2008 lalu. Program ini diketuai oleh saudara Rebin Birham, Naib Ketua PKR Bahagian Jempol disertai oleh Jawatankuasa Daerah Mengundi DUN Palong.
Lawatan kerja ini telah meliputi kawasan Palong 3, Palong 4,5 & 6, Palong 7 & 8, Palong 9, 10 & 11, seramai 30 orang yang terdiri daripada fakir miskin, kurang upaya dan lumpuh yang telah dilawati.


Ceramah Di DUN Palong.

Rebin Birham

YB Aminuddin Harun
Satu ceramah telah diadakan di DUN Palong pada 31hb Oktober 2008 lalu di Palong 10. Penceramah yang hadir pada malam tersebut ialah Pesuruhjaya Pas Kawasan Jempol, Ustaz Ramli al-Hafiz, ADUN Sikamat, YB Aminuddin Harun dan Naib Ketua PKR Bahagian Jempol, Rebin Birham. Hampir 300 orang penduduk sekitar telah hadir.

Peneroka Tanam Semula Berkelompok Felda Palong 7 Terima RM868 ribu.

Oleh Rebin Birham
Penantian selama hampir dua tahun akhirnya terjawab apabila pihak Risda bersetuju mengeluarkan peruntukan tanam semula kepada 31 orang peserta Peneroka Felda yang menanam semula secara sendiri (bukan peserta tanam semula Felda).

Pada 12hb November 2008 lalu, saudara Rebin Birham mewakili kumpulan TSB (tanam semula berkelompok) telah bermesyuarat dengan pihak Risda dan juga Pengurus Felda Palong 7 di Pejabat Risda Kuala Pilah.

Dalam mesyuarat berkenaan, pihak Risda telah memberi beberapa alasan sebab berlakunya kelewatan memberi peruntukan antaranya kumpulan TSB ini tidak mendapat kelulusan Pejabat Menteri Besar, tidak mendapat pelepasan pihak Felda dan masalah birokrasi.

Namun alasan-alasan ini telah disangkal oleh saudara Rebin Birham kerana perkara ini tidak seharusnya melibatkan Pejabat Menteri Besar dan perkara ini hanya melibatkan dua agensi.

Saudara Rebin turut menyatakan kesal atas kelewatan yang berlaku kerana para peneroka tersebut telah menanggung keperitan hidup selama tempoh tersebut disebabkan segala kewangan sendiri yang ada telah disalurkan untuk membiayai kos tanam semula.

Walaubagaimanapun mesyuarat telah mencapai keputusan yang mana Risda bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM28 ribu seorang kepada 31 orang peneroka terbabit. Ucapan terima kasih kepada pihak Risda dan Pengurus Felda Palong 7 yang telah memberikan kerjasama.

Monday, November 10, 2008

Pembeli Perpaduan Heights Buat Laporan Polis.






28 November 2008.
Seramai 45 Orang pembeli rumah Perpaduan Heights Kuala Pilah, Senaling telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Pilah hari ini jam 4.00 petang terhadap Pemaju dan dua buah Syarikat Arkitek Projek Perumahan Perpaduan Heights Kuala Pilah yang terbengkalai semenjak 2003.
Laporan polis tersebut diketuai oleh En. Salehuddin Abdullah selaku Pengerusi Badan Bertindak Pembeli.Menurut En. Salehudin, Projek yang dimulakan pada tahun 1996 yang sepatutnya siap pada tahun 2001 telah berjaya menarik seramai 231 orang pembeli, dan semenjak terbengkalai sudah banyak ikhtiar telah dilakukan oleh pembeli bagi menarik perhatian Kerajaan untuk membantu menyelesaikan kemelut ini, namun semuanya menemui jalan buntu.
Pertemuan juga telah diatur dengan ADUN Kawasan Pilah, EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, pihak Majlis Daerah sebagai rakan kongsi pemaju, semuanya tidak memberikan suatu jawapan konkrit terhadap permasalahan ini. Suatu protes secara besar-besaran juga telah diadakan pada 21hb. Ogos 2007 dan ekoran daripada itu pihaknya telah menghantar satu memorandum kepada Yang Di Pertua Majlis Daerah.
Pihak TV3 juga membuat liputan mengenai protes tersebut. Pihaknya juga telah mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi terhadap pemaju, namun semua masih tergantung dan tidak menemui jalan penyelesaian.
Turut hadir bersama membuat laporan tersebut ialah En. Tang Jay Son Peguam yang dilantik oleh pihak Badan Bertindak Pembeli. Menurut En. Tang Jay Son, beberapa keraguan timbul terhadap projek ini, beliau turut mempersoalkan mengapa ada aliran keluar masuk wang antara pihak Bank dengan Pemaju setelah Kerajaan mengistiharkan Projek tersebut terbengkalai. Juga bayaran kepada pihak Pemaju oleh Bank mencapai tahap 80% sedangkan prestasi kerja amat rendah daripada itu.
Beliau berharap pihak polis akan menyiasat aduan Pembeli itu tanpa memilih bulu, dan beliau telah diminta oleh Pembeli untuk mengemukakan saman terhadap Pemaju dan Arkitek perumahan tersebut kerana didapati telah menipu pihak pembeli.
Sementara itu En. Halim Bin A Aziz, Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan yang ditemui berkata, beliau telah membawa perkara ini kepengetahuan BPR untuk disiasat, kerana didapati dalam beberapa laporan yang beliau perolehi didapati ada unsur-unsur penyelewengan Pemaju bersama Majlis Daerah Kuala Pilah terhadap pembeli.
Namun daripada jawapan yang beliau perolehi daripada BPR tiada apa-apa tindakan boleh diambil terhadap Pemaju kerana prosedur yang dilakukan adalah betul, dan dalam masa yang sama berliau hairan bagaimana Timbalan Pengarah BPR N. Sembilan boleh bertukar, kerana beliau yang menyiasat hal tersebut.
Beliau juga turut melahirkan rasa kesal terhadap bekas EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan N. Sembilan En. Woo Ah Lek yang beliau temui bersama pembeli dengan memberikan alasan yang sangat tidak masuk akal dan tidak membela pembeli yang teraniaya.
Seorang lagi Pembeli yang teraniya Puan Lee Cheng Mei berharap laporan ini akan dapat disiasat oleh pihak polis dengan seadil-adilnya, kerana beliau merasakan telah tertipu dengan pemaju. Bukan sedikit wang yang beliau keluarkan dan lebih mendukacitakan beliau kini terpaksa membayar kepada benda yang tiada.
Beliau juga bersimpati dengan lain-lain pembeli kerana kebanyakkan mereka terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah dan sudah berumur, dan amat mengharapkan mereka oleh memiliki rumah dihari tua. Tetapi begini nasib yang menimpa mereka tanpa pembelaan daripada pihak Kerajaan.

Mukadimah Pengenalan

Salam Pertemuan,

Walaupun terletak jauh di pedalaman Negeri Sembilan, Bahagian Jempol kini telah melangkah ke arah dunia jalur lebar agar konsisten dengan peredaran masa dan tidak lagi ketinggalan dalam arus terkini.

Langkah perubahan minda telah bermula tanpa mengira halangan, cabaran dan tembok pemisah tradisi yang telah terbina sejak 35 tahun lalu. Perjuangan Parti Keadilan Rakyat Bahagian Jempol teguh walaupun berada dalam ruang lingkup ketaksuban ciptaan Umno, masih gagah berdiri dan kekal wujud tanpa menghiraukan asakan-asakan mendap minda pendokong Umno.

Keyakinan dan semangat terus membara dalam membina Harapan Baru Untuk Malaysia khususnya memajukan mentaliti bangsa.