Thursday, December 1, 2011

Gendang PRU-13 telah dipalu oleh Umno!

Ucapan perasmian oleh Presiden Umno, Najib Razak dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2011. Antara kata-kata ucapan beliau yang dipetik dari Malaysiakini.com adalah;

Najib, yang juga presiden Umno dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini, mengingatkan semua anggota parti supaya "merapatkan saf, menyalakan jamung dan menggigit sekuatnya perjuangan dengan geraham kita" bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba.

"Bingkaslah orang-orang Umno, kita turun ke medan bakti," katanya sambil melaungkan Hidup Umno yang disambut gemuruh 2,711 perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Seluruh anggota KEADILAN Cabang Jempol khususnya harus mempersiapkan diri bagi menghadapi PRU-13 yang dijangka berlaku dalam masa terdekat. Khabar-khabar angin politik kencang bertiup menyatakan bahawa tarikh pembubaran parlimen bakal berlaku sebaik sahaja selesai PAU 2011. Jika benar sebagaimana yang diperkatakan, berkemungkinan PRU-13 bakal berlangsung samada Januari atau Mac 2012.

Serangan-serangan kental fitnah oleh jentera-jentera media gerombolan Umno-BN kian mengasak PR setiap hari khususnya ditujukan kepada PKR dan Ketua Umum, Dato Seri Anwar Ibrahim. Gerombolan Umno-BN tidak lagi merasa tergugat pada PAS atau DAP tetapi ketakutan mereka hanya kepada PKR dan Anwar Ibrahim.

Seandainya kredibiliti Anwar Ibrahim dan PKR dapat diruntuhkan dengan mencetuskan ketidakyakinan rakyat Melayu khususnya, maka kekuatan PR dapat ditangani tetapi tidak semestinya gerombolan Umno-BN dapat memenangi PRU-13 secara mutlak!

PAU 2011 kali ini memperlihatkan serangan luarbiasa daripada kebanyakan pembahas kepada PR. Ini jelas mempamerkan mutu bahas yang tidak menyentuh isu-isu berkaitan rakyat tetapi lebih kepada kutukan, kejian, maki hamun dan cabar mencabar yang dilontarkan oleh para perwakilan yang berbahas. Apakah ini cara dan kaedah Umno membangkitkan semangat para ahlinya bagi menghadapi PRU-13?

Berbeza pula dengan suasana dalam Kongres Nasional 2011 KEADILAN yang berlangsung minggu lalu, para anggota parti yang terlibat dalam perbahasan menyampaikan buah fikiran, ilham, pandangan dan kritikan mereka berdasarkan isu-isu berkenaan persediaan PRU-13, pendidikan, isu anak muda, politik baru, agenda ekonomi baru dan penghayatan perjuangan parti sejak 12 tahun lalu. Sekali-sekala, anggota-anggota parti menyindir dan 'membunuh' kepincangan ciptaan gerombolan Umno-BN dalam politik negara dengan ungkapan kata yang sopan dan tidak beremosi. Inilah cara KEADILAN menyemarakkan semangat para anggotanya bagi menghadapi PRU-13 tanpa dimomok dengan provokasi retorika politkus picisan!

Secara umumnya, PR Jempol telah mempersiapkan diri bagi berhadapan dengan tentangan secara depan dan luarbisa dari gerombolan Umno-BN. DAP telah sedia untuk mempertahankan kemenangan di dun Bahau, PAS juga telah mempersiapkan calon tempatan dan warga peneroka yang disegani sebagai calonnya di dun Serting. PKR tidak ketinggalan sama dengan menggerakkan kempen pembelaan hak warga peneroka seluruh kawasan rancangan Felda di Jempol.

Keyakinan untuk mencapai kemenangan dapat dilihat dengan sambutan warga peneroka dalam satu ceramah yang diadakan di Palong 6 minggu lalu yang menyaksikan kehadiran lebih dua ribu orang. Ceramah penerangan tersebut telah dihadiri oleh Dato Seri Anwar Ibrahim. Suasana tersebut amat berbeza 4-5 tahun lalu yang mana para peneroka menyambut sepi kehadiran pembangkang sehingga kehadiran sesuatu program pembangkang hanya mencapai 50 ke seratus orang sahaja.




Tuesday, November 29, 2011

Analisa PRU-13: PKR harus diberi laluan di Terengganu

Perkhabaran yang dilaporkan oleh media massa kawalan BN yang memperlihatkan rundingan kerusi PR tidak dalam suasana aman, dipenuhi dengan kecaman sesama sendiri dan seakan wujud ketidaksefahaman antara komponen PR.

Namun, dalam rundingan kerusi pertentangan pendapat dan pandangan adalah perkara lumrah asalkan ia berakhir dengan suatu kata putus yang sepakat.

Walaupun menyentuh jauh di pantai timur semenanjung, ada perkhabaran-perkhabaran tidak rasmi menyatakan keengganan PAS Terengganu memberi laluan kepada PKR bertanding sekurang-kurangnya 10-15 kerusi dun. Ia agak mengejutkan dan diharap dapat diselesaikan secara muafakat.

Secara fakta, Terengganu mempunyai 32 kerusi dun dan lapan kerusi parlimen. PAS memenangi lapan kerusi dun dan selebihnya oleh Umno-BN (MCA menang di dun Bandar).

Jika PAS mahukan kemenangan dan menubuhkan kerajaan negeri di Terengganu, seharusnya muafakat PR itu wajar diperkukuhkan dengan memberi laluan PKR bertanding di banyak kerusi dun. Jika rakyat Terengganu boleh memilih Umno (yang tidak Islamik, nasionalis Melayu) adalah tidak mustahil bagi rakyat Terengganu untuk memilih PKR yang bersifat multiracial dan moderate (pertengahan) iaitu duduk di antara Umno dan PAS.

PAS Terengganu seharusnya tidak perlu merasa tergugat atas permintaan demokratik PKR Terengganu. Ia wajar dilakukan demi mencapai kemenangan bergaya PR di Terengganu. Seandainya PAS berjaya mengekalkan kemenangan lapan dun sediada, harapan menambah kemenangan sewajarnya datang dari PKR. Tambahan sembilan lagi kerusi sekiranya diberi kepada PKR memungkin sebuah kerajaan negeri baru bakal ditubuhkan selepas PRU-13 akan datang.

Akan tetapi jika PAS Terengganu tetap kekal dengan 'ketegasan' atau kedegilan, maka matlamat kemenangan untuk menubuhkan kerajaan negeri akan terus menjadi mimpi dan PAS akan kekal sebagai pembangkang di Terengganu.


Monday, November 28, 2011

Kongres Nasional 2011: ke arah memacu kemenangan!

Kongres Nasional 2011 yang berlangsung di Pulai Spring Resorts, Johor Bahru merupakan kongres terakhir sebelum PRU-13. Walaupun jauh di hujung semenanjung, namun kehadiran para perwakilan dan pemerhati dari Cabang Jempol begitu memberangsangkan. Ini adalah komitmen sebagai menunjukkan semangat serta kesungguhan menghadapi PRU-13.

Kemungkinan besar PM, Najib Razak akan membubarkan parlimen selepas Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung ketika ini (29 Nov-3 Disember 2011). PRU-13 dijangka berlaku seawal Januari 2011 atau Mac 2011.

Kebetulan hari kemuncak Kongres Nasional 2011 pada 27 November juga hari Maal Hijrah 1433. Ia memberi satu signifikan yang kuat kepada penghayatan sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW mengembangkan ajaran Islam.

Kupasan oleh Setiausaha Agung PKR, YB Saifuddin Nasution Ismail cukup mengesan pada setiap jiwa perwakilan dan pemerhati yang mendengar ucapan penggulungan beliau. Sejarah perjuangan Rasullah SAW dikaitkan dengan perjuangan KEADILAN yang kental diasak oleh gerombolan Umno sebagaimana yang dilakukan oleh kafir Quraisy. Tindakan-tindakan tidak demokratik Umno dalam menghalang kebenaran perjuangan KEADILAN telah disamakan sebagaimana tindakan-tindakan kekejaman kjafir Quraisy yang kental menghalang dakwah Rasullah SAW. Ia cukup membayangkan bahawa PRU-13 ini adalah medan terbaik PKR dan Pakatan Rakyat menumbangkan gerombolan Umno-BN!

Lebih mengujakan semangat adalah jumlah kehadiran ramai para perwakilan dan pemerhati kongres. Pada hari kemuncak kongres, kehadiran kongres adalah 57% daripada jumlah perwakilan keseluruhan iaitu lebih 1,400 orang daripada 2,300 orang perwakilan. Ini adalah angka yang membuktikan komitmen yang memberangsangkan para anggota PKR seluruh negara. Ia lebih baik daripada kehadiran perwakilan dalam Perhimpunan Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang berlangsung beberapa bulan lepas yang hanya mencatatkan kehadiran hanya 15% pada hari kemuncak perhimpunannya!

Gerombolan Umno-BN di Negeri Sembilan telah menyedari kepincangan politik dalam organisasinya tidak kira samada dalam Umno, MIC, MCA dan Gerakan. Persaingan dalam mendapatkan kerusi-kerusi parlimen dan dun Negeri Sembilan antara MCA dan Gerakan bukan menjadi rahsia sulit lagi. Tumpuan kedua-dua parti ini adalah kawasan-kawasan dun majoriti Cina yang 98% telah dimenangi oleh PR. Begitu juga antara MIC-PPP-Umno khususnya untuk kerusi Parlimen Telok Kemang, Parlimen Jempol, Dun Port Dickson dan Dun Jeram Padang.

Ada khabar-khabar tidak rasmi risikan menyatakan kerusi-kerusi parlimen dan dun Umno-BN yang mempunyai pemilih Melayu bawah 60% dan pemilih bukan Melayu sekitar 40% berkemungkinan besar akan dimenangi oleh PR. Kerusi-kerusi yang disebut bakal dimenangi oleh PR dalam PRU-13 nanti adalah Parlimen Jempol dan Parlimen Kuala Pilah. Manakala kawasan-kawasan dun adalah Pertang, Klawang, Chennah, Juasseh, Pilah, Johol, Senaling, Jeram Padang, Palong, Linggi, Labu dan Rantau. Kawasan dun yang dimenangi PR dijangka kekal dimenangi oleh PR.

Beberapa kawasan Parlimen dan Dun yang dijangka kekal dimenangi oleh Umno ialah Dun Sungai Lui, Gemas, Seri Menanti, Bagan Pinang, Lenggeng, Serting dan Kota. Manakala kawasan parlimen yang dijangka kekal dimenangi Umno adalah Jelebu, Rembau dan Tampin.

Beberapa dun seperti Chembong dan Gemencheh potensi kemenangan antara PR dan BN adalah 50-50.

Harus diingat bahawa jika berlaku kemenangan PR di Parlimen Jempol dan beberapa dun seperti Palong, Jeram Padang dan Bahau ia adalah gambaran besar bahawa Negeri Sembilan telah ditawan oleh PR!

Tuesday, November 8, 2011

Projek Fidlot: Najib, Noh Omar bohong pinjaman RM250 juta

KUALA LUMPUR 8 Nov: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa tindakan tata tertib dikenakan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar kerana berbohong di Parlimen.

NONEMenurut Rafizi (gambar kiri), pembohongan itu berhubung peruntukan RM250 juta wang rakyat menerusi projek National Feedlot Corporation (NFC) yang diberikan kepada keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Najib pada 1 November lalu memberitahu Parlimen setakat ini hanya RM181.9 juta daripada peruntukan RM250 juta disalurkan kepada NFC, syarikat milik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

Sementara Noh Omar pada 31 Oktober lalu berkata, RM250 juta kepada NFC belum disalurkan sepenuhnya.

Sedangkan kata Rafizi, rekod kewangan NFC menunjukkan semua RM250 juta itu disalurkan sepenuhnya kepada Shahrizat sebelum 31 Mac 2009 lagi.

“Rekod kewangan NFC menunjukkan pinjaman pertama sejumlah RM130 juta telah diambil dalam tahun 2008.

“Pada 31 Mac 2009, NFC membuat drawdown kedua berjumlah RM120 juta yang dimasukkan terus ke akaun Maybank milik NFC,” kata Rafizi dalam satu kenyataan media.

NFC sebelum ini mencuri perhatian ramai apabila ia dikendalikan syarikat Agro Science Sdn Bhd yang dimiliki suami Shahrizat, Datuk Mohamad Salleh.

Syarikat itu sepatutnya membekalkan 60 ribu ekor lembu dalam masa lima tahun di bawah RMK 9 namun dalam tiga tahun pertama operasinya, ia hanya mampu membekalkan 8,016 ekor lembu.

Menurut Rafizi, kerajaan BN dijangka melupuskan hutang syarikat Shahrizat dengan kerajaan kerana operasi ternakan lembu syarikat itu rugi besar dan tidak mampu membayar kembali pinjaman yang diberikan Kerajaan Pusat.

“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, NFC mengalami kerugian sebanyak RM7 juta (2008) dan RM11 juta (2009),” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

“Jika ini berterusan, kerajaan pusat tidak ada pilihan lain kecuali melupuskan pinjaman RM250 juta yang diberikan kepada NFC seperti amalan sebelum ini yang membabitkan Perwaja dan syarikat-syarikat berkepentingan lain,” kata Rafizi.

Kerugian besar itu juga berpunca tindakan Shahrizat memberikan diskaun besar kepada restoran mewah milik keluarganya sendiri yang membeli daging lembu daripada NFC.

“Tindakan ini bertentangan dengan prinsip tata kelola yang baik apabila NFC yang dibiayai wang rakyat memberi subsidi kepada restoran mewah yang dimiliki oleh keluarga seorang menteri,” kata Rafizi.

Monday, November 7, 2011

Makkal Ossai: Parlimen bubar 11 November, PRU-13 pada 10 Disember

(Keratan muka depan akhbar Makkal Ossai 8 Nov 2011)

Apakah benar khabar-khabar politik yang heboh diperkatakan ini bakal berlaku dalam beberapa hari ini?

Ia adalah suatu perkara yang menarik untuk dibicarakan dalam sembang-sembang politik khusus buat para pemerhati politik termasuklah rakyat biasa sekalipun kerana suasana kali ini telah memperlihatkan 'kepekaan luarbiasa' masyarakat umum terhadap perkembangan politik semasa negara.

Keadilan Jempol sentiasa bersedia dalam menghadapi pilihanraya umum sekiranya andaian yang dilontarkan oleh Makkal Ossai ini benar-benar menjadi kenyataan. Gerak kerja yang agresif bermula sejak tahun 2009 lalu dijangka mampu membuahkan hasil yang bermakna dalam perjuangan Keadilan Jempol membela nasib dan hak semua warga peneroka Felda di seluruh Jempol.

Kali ini, Jempol bakal menjadi medan penentu kepada hala tuju PR dan BN di Negeri Sembilan dalam PRU-13 akan datang. Sebagaimana yang telah diungkapkan dalam posting lalu, sekiranya Parlimen Jempol dan semua dun di dalamnya dimenangi oleh PR, itu bermaksud Negeri Sembilan bakal menjadi negeri PR.


Thursday, November 3, 2011

Sembang Kedai Kopi: Perebutan kerusi Jeram Padang dikalangan pimpinan MIC NS?








Namun, kemenangan Adun Jeram Padang, VS Mogan dikhabarkan sedang 'terancam' gara-gara ada beberapa individu yang boleh dikatakan adalah yaang berada dalam kepimpinan MIC Negeri Sembilan! Secara mudahnya, telah ada yang mencari tempat selamat untuk kembali berada dalam senarai Exco kerajaan negeri sekiranya BN berjaya mengekalkan kemenangan di Negeri Sembilan.

Khabar-khabar tak rasmi yang sedang digebangkan menyatakan Pengerusi MIC Negeri Sembilan telah dikatakan ingin kembali bertanding di Jeram Padang. Tambahan maklumat lagi, ketika ini hubungan antara Adun Jeram Padang dan Pengerusi MIC NS tidak mesra gara-gara hasrat politik tersebut. Paling kritikal sebagaimana yang disebut oleh pemberita khabar MIC di Jempol khususnya di Jeram Padang telah terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan VS Mogan dan kumpulan T.Rajagopalu.

Pertentangan ini bukan lagi menjadi suatu rahsia tetapi telah kencang diperkatakan sehingga mendapat pengetahuan MB Negeri Sembilan. Ruang dan peluang ini harus dimanfaatkan oleh jentera PKR untuk mengukuhkan pengaruh dan kekuatan di Jeram Padang. Pertentangan politik dalaman yang berlaku dalam MIC ini bakal berlarutan kerana sebelah pihak ingin mempertahankan kedudukan manakala sebelah pihak lagi sedang giat melobi untuk meletakkan diri menjadi calon.

Kesan pertentangan tersebut terbukti dalam beberapa program anjuran ADUN Jeram Padang tidak dihadiri oleh Pengerusi MIC NS walaupun dikhabarkan telah mendapat jemputan rasmi. Tindakan tersebut membuktikan krisis dalaman tersebut sedang memarakkan perpecahan.

Mungkinkah Jeram Padang bakal menyaksikan penolakan mutlak MIC dari peta politik di Negeri Sembilan dalam PRU-13 nanti?


Thursday, October 20, 2011

Jalan Kg Pasal-Palong 8 Rosak sejak dua tahun lalu


Masalah: Jalan tanah merah kampung rosak sejak dua tahun lalu (sejak 2009).
Lokasi: Kg Pasal bersebelahan Felda Palong 8, Jempol.
Laporan dipetik dari akhbar Kosmo!

Cakap-cakap:
Sebelum Umno-Bn Jempol giat rancak menggila untuk merobohkan segala papantanda KEADILAN di Palong, sila ambil perhatian dengan rintihan AJK JKKK Kg Pasal itu.

Ada masalah rakyat awam yang lebih penting diutamakan daripada menyibukkan diri untuk merobohkan papantanda KEADILAN!

Masih ada jalan-jalan kampung belum berturap dan masih bertanah merah!
Inikah bentuk kemajuan yang berlaku di kawasan Palong yang dilaung-laungkan Umno-BN??

Sudah pasti kalau jalan tanah merah, kemudahan lampu jalan pun tiada!!!


Tindakan Jahat Umno-BN merobohkan papan tanda PKR di Jempol

Tidak adil....kelihatan jentolak merobohkan papan tanda PKR Ranting Palong 14,15 & 16

Umno-BN di Jempol seperti sudah hilang kewarasan pertimbangan kerana bertindak merobohkan papan tanda rasmi PKR Ranting Palong 14, 15 & 16. Nampaknya pihak yang bertanggungjwab cuba menafikan hak berpersatuan rakyat awam di Palong khususnya.

Apakah Umno-BN telah lupa bahawa papan tanda tersebut bukan suatu kesalahan kerana akta Pendaftar Pertubuhan membenarkan mana-mana papantanda pertubuhan politik boleh dipasang, dipacak atau dipamerkan tanpa memerlukan sebarang kelulusan Majlis Daerah atau PBT mahupun permit kebenaran dari polis???

Apakah rasional tindakan merobohkan papan tanda tersebut?

Jelas sekali tindakan terdesak Umno-BN ini memperlihatkan 'ketakutan maha hebat' mereka terhadap kebangkitan rakyat peneroka kepada gerombolan ini. Tindakan tersebut secara terang-terangan melanggar prinsip demokrasi yang sering dilaungkan oleh pemuka-pemuka Umno.

Adakah ini suatu bentuk mentaliti atau pemikiran kebanyakan pemuka-pemuka Umno-BN di Jempol yang sememangnya dilatih berfikir jumud dan tidak luas perspektif berfikir??

Harus diingat, walaupun Selangor telah diperintah oleh PR tetapi kerajaan negeri mahupun mana-mana parti komponen PR tidak pernah membuat 'tindakan terdesak' seperti ini untuk merobohkan papan tanda Umno atau mana-mana komponen BN di Selangor. Rasionalnya kerana PR tidak bersifat jumud dan berfikir seperti budak-budak mentah hanya kerana 'sakit hati' melihat papan tanda parti lain terpacak, terpampang dan terdiri di mana-mana kawasan.

Fikir-fikirkanlah. Inikah kematangan politik di sebalik 'keunggulan' Umno selama 65 tahun kewujudannya?

Tuesday, October 11, 2011

PKR berhasrat bertanding di Parlimen Jempol

PKR Jempol berhasrat untuk bertanding di Parlimen Jempol. Walaupun Parlimen Jempol terletak di kawasan pedalaman Negeri Sembilan dan dikelilingi lebih 60 peratus kawasan Felda dan ladang, pecahan pemilih berdasarkan kaum memperlihatkan Parlimen Jempol adalah kawasan campuran.

Parlimen Jempol mempunyai 57.52 peratus pemilih Melayu, Cina (27.54%), India (13.86%), Orang Asli (0.89%) dan Lain-lain (0.20%). Pecahan tersebut menggambarkan Jempol merupakan kawasan campuran kerana pemilih Melayu berada di bawah paras 60 peratus.

Negeri Sembilan keseluruhannya mempunyai lapan parlimen dengan empat kawasan campuran (pemilih Melayu bawah 60%) iaitu Rasah, Seremban, Telok Kemang dan Jempol. Manakala empat lagi kawasan adalah kawasan majoriti Melayu iaitu Jelebu, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin. Pada PRU 2008, Jempol telah ditandingi oleh Pas.

Secara ringkas, sekiranya faktor perolehan undi popular calon Pas untuk Parlimen Jempol diambilkira dan dibandingkan dengan perolehan undi popular calon-calon peringkat Dun, terdapat jurang yang besar khususnya di Jeram Padang, Palong dan Bahau kerana perolehan undi popular calon-calon Dun lebih tinggi berbanding calon Pas di parlimen.

Ada dua perkara yang mungkin dapat dikongsikan sebagai membuka perspektif politik yang lebih luas demi kebaikan semua komponen PR. Pertama, calon memainkan peranan yang penting. Faktor itu juga dilihat menjadi sebab perbezaan undi popular calon Dun dan Parlimen agak ketara bezanya, jika dalam margin yang kecil itu tidak menjadi persoalan besar.

Contoh itu dilihat antara Dun Palong (pemilih Melayunya adalah 89.52%) yang dianggap sebagai 'killing zone' kepada pembangkang untuk menang. Perolehan undi calon PKR Dun Palong adalah 2725 undi, manakala jumlah undi yang diterima oleh calon Pas Parlimen Jempol di Palong adalah 1739 undi. Beza undi antara calon dun dan parlimen adalah 986 undi. Ini jelas menunjukkan walaupun bertanding di 'killing zone' ditambah pula kawasan Palong adalah Dun yang mempunyai pemilih Melayu tertinggi di dalam Parlimen Jempol, PKR mampu memperolehi lonjakan undi yang lebih baik berbanding Pas. Itu belum lagi mengambil kira perolehan undi di Jeram Padang, Bahau dan Serting.

Perkara kedua adalah parti mana yang dilihat lebih berkeupayaan untuk memenangi sesuatu kawasan. Kemenangan di Parlimen Jempol secara teorinya mampu dizahirkan sekiranya Pas memberi laluan kepada PKR bertanding di parlimen.

Perkara ini tidak boleh dinilai dengan emosi dan perasaan semata-mata. Hakikat kemenangan perlu dinilai dengan sikap politik yang terbuka sebagai meluaskan perspektif agar tidak dikusutkan dengan sentimen-sentimen yang mengecilkan perimeter berfikir. Maka di situlah akan memantapkan kesepakatan dan persefahaman sebagaimana yang dituntut oleh ajaran Islam.

Sunday, October 9, 2011

Bibit-bibit PRU 13 kian menghampiri!

Kerancakan Perdana Menteri, Najib Razak turun ke padang sejak bulan raya Aidilfitiri lalu cukup menyakinkan khabar-khabar angin politik yang mengatakan PRU-13 bakal berlaku dalam masa terdekat ini.

Lebih-lebih lagi kemunculan secara 'mengejut' Najib yang sebenarnya dirancang di konti-konti radio, konsert Suara Kami, program berbasikal di Georgetown. Ini adalah sasaran buat pengundi-pengundi muda. Namun, apakah kaedah-kaedah itu memperlihatkan Najib 'cool' di mata fikiran orang-orang muda?

Selepas mengadakan program Rumah Terbuka Hari Raya Malaysia di Permatang Pauh, Najib seterusnya bertumpu di Selangor dengan turun di kawasan-kawasan tumpuan yang cuba memberi isyarat kepada PR bahawa Selangor telah siap sedia akan ditawan oleh BN!

Semalam dalam Majlis Penerangan BN Wilayah Persekutuan, ucapan Najib seakan-akan memberi isyarat bahawa PRU-13 tidak lama sahaja lagi. Ia seakan melayangkan gambaran agar semua orang-orang politik bermain teka-teki kemunculan PRU-13! Sangat menarik tingkah laku Najib tersebut dan TV3 memaparkan lebih daripada 10 minit ucapan beliau tersebut. Apakah maksudnya itu?

PR harus bersiap sedia dan memperkuatkan jentera mulai sekarang. Usah ditunggu sehingga saat-saat akhir untuk memulakan rentak perlawanan. Rentak itu seharusnya telah siap dirangka untuk dipergerakkan bagi menghadapi permainan yang bakal berlaku dalam masa terdekat ini.

PKR Jempol telah menyiapkan diri untuk menghadapi perlawanan PRU-13 ini. Mungkin BN masih memperkecilkan usaha-usaha tersebut dan PKR Jempol juga tidak memandang rendah keupayaan BN mempertahankan kemenangan mereka di Jempol.

Friday, October 7, 2011

Khabar Pilihanraya: MIC N.Sembilan mahu tukar bertanding di Parlimen Jempol?

BN Negeri Sembilan khususnya parti-parti komponen seperti MIC dan MCA telah mempersiapkan strategi dan gerak kerja untuk merampas kawasan-kawasan yang tewas dalam PRU 2008 lalu.

Maklumat-maklumat tidak rasmi ada menyebut MCA telah bertumpu di Dun Lobak, Temiang, Rahang, Senawang dan Repah manakala MIC dikatakan sedang memperkukuhkan jenteranya di Port Dickson.

Walaupun ia maklumat tidak rasmi, lebih 1,500 pemilih luar telah dipindahkan ke Lobak dan dikenalpasti pengundi yang bakal membantu kemenangan calon MCA di Lobak akan datang. Begitu juga dengan peningkatan jumlah pemilih pos di Dun Temiang. Kemenangan tipis DAP di Temiang mungkin akan digugat dengan adanya 'undi bantuan' yang dirancang oleh jentera BN.

Ada perkhabaran menyebut kemungkinan BN akan berjaya merampas dan memenangi beberapa dun seperti Temiang, Rahang dan Senawang. Perkhabaran ini perlu diambil serius oleh jentera PR Negeri Sembilan bagi mengukuhkan gerak kerja di kawasan-kawasan terbabit.

Maklumat tidak rasmi juga ada menyebut MIC Negeri Sembilan berhasrat untuk bertanding di Parlimen Jempol dan menyerahkan Parlimen Telok Kemang kepada Umno. Walaubagaimanapun, hasrat MIC itu tidak dipersetujui oleh pimpinan Umno Bahagian Jempol.

Apakah MIC merasakan peluang untuk kembali merampas dan memenangi Parlimen Telok Kemang berada dalam laluan sukar buat mereka? Persaingan di Telok Kemang dikalangan komponen BN dikhabarkan sengit kerana PPP juga ada hasrat untuk bertanding di Telok Kemang dan Dun Port Dickson.

Penternak Saman Kerajaan RM1 juta!

SEREMBAN 21 Sept. - Tiga penternak lembu hari ini bertindak memfailkan saman RM1 juta terhadap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana mendakwa ternakan mereka terjejas selepas dibekalkan enam ekor lembu yang dijangkiti penyakit kuku dan mulut.

K. Tamilselvan, C.P. Krishnan dan M. Nganersegaran, (Gambar)dari Jempol dekat sini selaku pihak plaintif memfailkan saman tersebut melalui dua peguam mereka, T. Kumar dan Abdul Nasir Abdul Aziz di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam saman tersebut, mereka menamakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan dan Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Soeraya Norsham sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Turut disenarai sebagai defendan keempat hingga keenam ialah Penolong Ketua Pengarah jabatan yang sama, Dr. Salmiyah Tahir bersama dua kakitangannya, Mohamad Abdullah dan Latip Yasim.

Kumar memberitahu pemberita, anak guamnya mengambil tindakan itu kerana tertekan dengan tindakan pihak defendan yang gagal memberikan rawatan awal terhadap enam ekor lembu yang diterima daripada Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu Gemencheh menerusi program Ternakan Bekalan Trust 2010 pada 16 Disember tahun lalu.

Katanya, selepas enam hari menerima haiwan tersebut, anak guamnya yang masing-masing menerima dua ekor lembu mendapati ternakan itu menunjukkan simptom dijangkiti penyakit mulut berbuih, berair dan tidak boleh makan lalu memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Jempol untuk diperiksa.

''Pada 27 Disember 2010, Jabatan Perkhidmatan Haiwan mengesahkan enam ekor lembu berkenaan positif dijangkiti penyakit kuku dan mulut tetapi mereka gagal memberikan rawatan yang sesuai hingga menyebabkan haiwan berkenaan mati.

''Malah, penyakit itu turut menjangkiti haiwan ternakan lain milik plaintif sehingga menyebabkan kematian haiwan-haiwan terbabit,'' katanya.

Berikutan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas sebanyak RM842,000 bagi sejumlah 147 ekor lembu yang mati selepas dijangkiti penyakit itu, ganti rugi kehilangan pendapatan daripada hasil tenusu sehingga Mei 2011 (RM88,000) dan kos perubatan (RM21,000).

Selain itu, mereka menuntut ganti rugi am, faedah lapan peratus di atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh dan kos guaman.

Wednesday, September 28, 2011

Jamuan Aidilfitri KEADILAN Jempol & Perasmian Bilik gerakan Pilihanraya Dun Palong


Tarikh program: 25 September 2011 / Ahad
Tetamu kehormat:
YB Saifuddin Nasution Ismail (setiausaha agung PKR)
YB Dato' Kamarul Baharin Abbas (Pengerusi PKR N.Sembilan)
Hj Suhaimi Said (Pengerusi Biro Peneroka Felda & Orang Asal PKR)
Rebin Birham (Pengarah Pilihanraya Dun Palong)

Pengisian:

Jamuan Hari Raya Adilfitri KEADILAN Jempol bersama masyarakat Palong 9
Ini adalah sambutan julung kali diadakan di Palong 9 sempena hari raya Aidilfitri. Seluruh kepimpinan PKR Negeri Sembilan dan Cabang Jempol bersama masyarakat setempat turut sama hadir memeriahkan majlis tersebut.


Perasmian Bilik Gerakan Pilihanraya Dun Palong

Setiausaha Agung PKR, YB Saifuddin Nasution Ismail berkenan merasmikan pelancaran Bilik Gerakan Pilihanraya Dun Palong yang bertempat di Palong 9. Kehadiran beliau adalah gambaran jelas KEADILAN akan mengempur secara hebat kawasan tersebut untuk dimenangi dalam PRU-13 akan datang.


Majlis Penyerahan Beramai-ramai Borang Penyertaan Keanggotaan PKR oleh anak-anak muda Palong 9

Majlis malam tersebut turut diserikan dengan penyerahan beramai-ramai borang permohonan keanggotaan anak-anak muda Palong menyertai PKR. Suasana tersebut adalah isyarat penting dan jelas bahawa anak-anak muda kawasan Felda sudah mula beralih sokongan demi kebaikan masa depan mereka.

Monday, January 24, 2011

Menang Jempol Bermakna Negeri Sembilan Ditawan PR

Pakatan Rakyat Negeri Sembilan menyedari untuk memenuhi matlamat Menawan Negeri Sembilan PRU-13, kawasan-kawasan Felda harus ditembusi yang merupakan kubu kuat BN di Semenanjung selain Sabah dan Sarawak.

Apakah matlamat PR Negeri Sembilan itu cuma suatu ilusi? Adakah stigma kawasan Felda sebagai kubu kuat BN tidak mampu diubah?

Parlimen Jempol terdiri daripada 60% kawasan Felda yang terbentang luas dari utara Jempol mengunjur luas ke timur dan selatan Jempol. Terdapat empat DUN dalam Parlimen Jempol iaitu Serting, Jeram Padang, Palong dan Bahau.

Hanya DUN Bahau berjaya dimenangi oleh PR melalui parti DAP. Jeram Padang dimenangi oleh BN dengan majoriti bawah dua ribu undi, memberi potensi baik kepada PR melalui PKR untuk memenanginya pada PRU-13. Sementara Serting dan Palong masih kekal kepada BN dengan majoriti kemenangan yang agak tinggi.

Namun, usaha-usaha menangani permasalahan para peneroka Felda telah diberi keutamaan bagi mengubah perspekstif pemikiran rakyat di Jempol supaya menyedari hak-hak mereka. Penyelewengan yang sekian lama dijalankan oleh Felda melalui pelbagai kaedah muslihat telah memerangkap kebanyakan peneroka tanpa menyedari penipuan sedang berlaku!

Kerjasama antara komponen PR Negeri Sembilan Jempol dalam menggerakkan usaha pembelaan para peneroka Felda sejak tahun 2009 lalu telah membangkitkan gerun kepada BN walaupun menafikannya. Warga Felda Perihatin telah bergerak masuk ke kawasan-kawasan Felda untuk mengadakan sesi dialog dan perbincangan bagi menerangkan penyelewengan Felda.

Hasil gerakan yang diketuai oleh Saudara Rebin Birham, T. Kumar dan Karip Salleh telah menyatukan lebih 700 peneroka dari Felda Serting Hilir dan Felda Raja Alias memfailkan saman kepada Felda berkaitan isu penyelewengan gred perahan minyak sawit di Mahkamah Tinggi Seremban pada 10 Ogos 2010. Kebanyakan peneroka yang terlibat adalah ahli-ahli Umno yang telah sedar betapa hak mereka telah dinafikan oleh Felda.

Langkah itu tidak terhenti di situ sahaja, seterusnya pada awal bulan Januari 2011 seramai 30 peneroka dari Felda Palong 9 telah memfailkan saman kepada sebuah syarikat kontraktor Felda berkaitan penebangan kayu getah tua.

Gerakan aktif Warga Felda Perihatin telah dilihat sebagai ancaman oleh BN dan Felda. Pihak pengurusan Felda telah mengedarkan risalah-risalah yang cuba menafikan penyelewengan-penyelewengan yang didedahkan oleh Warga Felda Perihatin. Malah, jika pihak PR ingin mengadakan ceramah perlu meminta surat kebenaran Pengurus Rancangan sedangkan pihak berkuasa tidak punya masalah memberi kebenaran permit ceramah. Ini satu tindakan sekatan yang telah digerakkan oleh BN bagi menghalang gelombang perubahan di kawasan-kawasan Felda.

Sejarah harus diimbas sebagai pedoman. Pada PRU tahun 1999, DUN Jengka telah berjaya ditawan oleh PAS yang diketahui sebagai 100% kawasan Felda. Begitu juga dalam PRU tahun 2004, di DUN Pertang PKR telah menang di Daerah Mengundi Pasoh 4 yang juga kawasan 100% Felda. Jadi, tidak ada yang mustahil untuk meraih kemenangan buat PR. Semoga imbasan ringkas ini akan memberi suatu semangat kepada jentera pilihanraya PR NS di Jempol untuk melaksanakan matlamat menawan negeri ini.