Thursday, October 20, 2011

Jalan Kg Pasal-Palong 8 Rosak sejak dua tahun lalu


Masalah: Jalan tanah merah kampung rosak sejak dua tahun lalu (sejak 2009).
Lokasi: Kg Pasal bersebelahan Felda Palong 8, Jempol.
Laporan dipetik dari akhbar Kosmo!

Cakap-cakap:
Sebelum Umno-Bn Jempol giat rancak menggila untuk merobohkan segala papantanda KEADILAN di Palong, sila ambil perhatian dengan rintihan AJK JKKK Kg Pasal itu.

Ada masalah rakyat awam yang lebih penting diutamakan daripada menyibukkan diri untuk merobohkan papantanda KEADILAN!

Masih ada jalan-jalan kampung belum berturap dan masih bertanah merah!
Inikah bentuk kemajuan yang berlaku di kawasan Palong yang dilaung-laungkan Umno-BN??

Sudah pasti kalau jalan tanah merah, kemudahan lampu jalan pun tiada!!!


Tindakan Jahat Umno-BN merobohkan papan tanda PKR di Jempol

Tidak adil....kelihatan jentolak merobohkan papan tanda PKR Ranting Palong 14,15 & 16

Umno-BN di Jempol seperti sudah hilang kewarasan pertimbangan kerana bertindak merobohkan papan tanda rasmi PKR Ranting Palong 14, 15 & 16. Nampaknya pihak yang bertanggungjwab cuba menafikan hak berpersatuan rakyat awam di Palong khususnya.

Apakah Umno-BN telah lupa bahawa papan tanda tersebut bukan suatu kesalahan kerana akta Pendaftar Pertubuhan membenarkan mana-mana papantanda pertubuhan politik boleh dipasang, dipacak atau dipamerkan tanpa memerlukan sebarang kelulusan Majlis Daerah atau PBT mahupun permit kebenaran dari polis???

Apakah rasional tindakan merobohkan papan tanda tersebut?

Jelas sekali tindakan terdesak Umno-BN ini memperlihatkan 'ketakutan maha hebat' mereka terhadap kebangkitan rakyat peneroka kepada gerombolan ini. Tindakan tersebut secara terang-terangan melanggar prinsip demokrasi yang sering dilaungkan oleh pemuka-pemuka Umno.

Adakah ini suatu bentuk mentaliti atau pemikiran kebanyakan pemuka-pemuka Umno-BN di Jempol yang sememangnya dilatih berfikir jumud dan tidak luas perspektif berfikir??

Harus diingat, walaupun Selangor telah diperintah oleh PR tetapi kerajaan negeri mahupun mana-mana parti komponen PR tidak pernah membuat 'tindakan terdesak' seperti ini untuk merobohkan papan tanda Umno atau mana-mana komponen BN di Selangor. Rasionalnya kerana PR tidak bersifat jumud dan berfikir seperti budak-budak mentah hanya kerana 'sakit hati' melihat papan tanda parti lain terpacak, terpampang dan terdiri di mana-mana kawasan.

Fikir-fikirkanlah. Inikah kematangan politik di sebalik 'keunggulan' Umno selama 65 tahun kewujudannya?

Tuesday, October 11, 2011

PKR berhasrat bertanding di Parlimen Jempol

PKR Jempol berhasrat untuk bertanding di Parlimen Jempol. Walaupun Parlimen Jempol terletak di kawasan pedalaman Negeri Sembilan dan dikelilingi lebih 60 peratus kawasan Felda dan ladang, pecahan pemilih berdasarkan kaum memperlihatkan Parlimen Jempol adalah kawasan campuran.

Parlimen Jempol mempunyai 57.52 peratus pemilih Melayu, Cina (27.54%), India (13.86%), Orang Asli (0.89%) dan Lain-lain (0.20%). Pecahan tersebut menggambarkan Jempol merupakan kawasan campuran kerana pemilih Melayu berada di bawah paras 60 peratus.

Negeri Sembilan keseluruhannya mempunyai lapan parlimen dengan empat kawasan campuran (pemilih Melayu bawah 60%) iaitu Rasah, Seremban, Telok Kemang dan Jempol. Manakala empat lagi kawasan adalah kawasan majoriti Melayu iaitu Jelebu, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin. Pada PRU 2008, Jempol telah ditandingi oleh Pas.

Secara ringkas, sekiranya faktor perolehan undi popular calon Pas untuk Parlimen Jempol diambilkira dan dibandingkan dengan perolehan undi popular calon-calon peringkat Dun, terdapat jurang yang besar khususnya di Jeram Padang, Palong dan Bahau kerana perolehan undi popular calon-calon Dun lebih tinggi berbanding calon Pas di parlimen.

Ada dua perkara yang mungkin dapat dikongsikan sebagai membuka perspektif politik yang lebih luas demi kebaikan semua komponen PR. Pertama, calon memainkan peranan yang penting. Faktor itu juga dilihat menjadi sebab perbezaan undi popular calon Dun dan Parlimen agak ketara bezanya, jika dalam margin yang kecil itu tidak menjadi persoalan besar.

Contoh itu dilihat antara Dun Palong (pemilih Melayunya adalah 89.52%) yang dianggap sebagai 'killing zone' kepada pembangkang untuk menang. Perolehan undi calon PKR Dun Palong adalah 2725 undi, manakala jumlah undi yang diterima oleh calon Pas Parlimen Jempol di Palong adalah 1739 undi. Beza undi antara calon dun dan parlimen adalah 986 undi. Ini jelas menunjukkan walaupun bertanding di 'killing zone' ditambah pula kawasan Palong adalah Dun yang mempunyai pemilih Melayu tertinggi di dalam Parlimen Jempol, PKR mampu memperolehi lonjakan undi yang lebih baik berbanding Pas. Itu belum lagi mengambil kira perolehan undi di Jeram Padang, Bahau dan Serting.

Perkara kedua adalah parti mana yang dilihat lebih berkeupayaan untuk memenangi sesuatu kawasan. Kemenangan di Parlimen Jempol secara teorinya mampu dizahirkan sekiranya Pas memberi laluan kepada PKR bertanding di parlimen.

Perkara ini tidak boleh dinilai dengan emosi dan perasaan semata-mata. Hakikat kemenangan perlu dinilai dengan sikap politik yang terbuka sebagai meluaskan perspektif agar tidak dikusutkan dengan sentimen-sentimen yang mengecilkan perimeter berfikir. Maka di situlah akan memantapkan kesepakatan dan persefahaman sebagaimana yang dituntut oleh ajaran Islam.

Sunday, October 9, 2011

Bibit-bibit PRU 13 kian menghampiri!

Kerancakan Perdana Menteri, Najib Razak turun ke padang sejak bulan raya Aidilfitiri lalu cukup menyakinkan khabar-khabar angin politik yang mengatakan PRU-13 bakal berlaku dalam masa terdekat ini.

Lebih-lebih lagi kemunculan secara 'mengejut' Najib yang sebenarnya dirancang di konti-konti radio, konsert Suara Kami, program berbasikal di Georgetown. Ini adalah sasaran buat pengundi-pengundi muda. Namun, apakah kaedah-kaedah itu memperlihatkan Najib 'cool' di mata fikiran orang-orang muda?

Selepas mengadakan program Rumah Terbuka Hari Raya Malaysia di Permatang Pauh, Najib seterusnya bertumpu di Selangor dengan turun di kawasan-kawasan tumpuan yang cuba memberi isyarat kepada PR bahawa Selangor telah siap sedia akan ditawan oleh BN!

Semalam dalam Majlis Penerangan BN Wilayah Persekutuan, ucapan Najib seakan-akan memberi isyarat bahawa PRU-13 tidak lama sahaja lagi. Ia seakan melayangkan gambaran agar semua orang-orang politik bermain teka-teki kemunculan PRU-13! Sangat menarik tingkah laku Najib tersebut dan TV3 memaparkan lebih daripada 10 minit ucapan beliau tersebut. Apakah maksudnya itu?

PR harus bersiap sedia dan memperkuatkan jentera mulai sekarang. Usah ditunggu sehingga saat-saat akhir untuk memulakan rentak perlawanan. Rentak itu seharusnya telah siap dirangka untuk dipergerakkan bagi menghadapi permainan yang bakal berlaku dalam masa terdekat ini.

PKR Jempol telah menyiapkan diri untuk menghadapi perlawanan PRU-13 ini. Mungkin BN masih memperkecilkan usaha-usaha tersebut dan PKR Jempol juga tidak memandang rendah keupayaan BN mempertahankan kemenangan mereka di Jempol.

Friday, October 7, 2011

Khabar Pilihanraya: MIC N.Sembilan mahu tukar bertanding di Parlimen Jempol?

BN Negeri Sembilan khususnya parti-parti komponen seperti MIC dan MCA telah mempersiapkan strategi dan gerak kerja untuk merampas kawasan-kawasan yang tewas dalam PRU 2008 lalu.

Maklumat-maklumat tidak rasmi ada menyebut MCA telah bertumpu di Dun Lobak, Temiang, Rahang, Senawang dan Repah manakala MIC dikatakan sedang memperkukuhkan jenteranya di Port Dickson.

Walaupun ia maklumat tidak rasmi, lebih 1,500 pemilih luar telah dipindahkan ke Lobak dan dikenalpasti pengundi yang bakal membantu kemenangan calon MCA di Lobak akan datang. Begitu juga dengan peningkatan jumlah pemilih pos di Dun Temiang. Kemenangan tipis DAP di Temiang mungkin akan digugat dengan adanya 'undi bantuan' yang dirancang oleh jentera BN.

Ada perkhabaran menyebut kemungkinan BN akan berjaya merampas dan memenangi beberapa dun seperti Temiang, Rahang dan Senawang. Perkhabaran ini perlu diambil serius oleh jentera PR Negeri Sembilan bagi mengukuhkan gerak kerja di kawasan-kawasan terbabit.

Maklumat tidak rasmi juga ada menyebut MIC Negeri Sembilan berhasrat untuk bertanding di Parlimen Jempol dan menyerahkan Parlimen Telok Kemang kepada Umno. Walaubagaimanapun, hasrat MIC itu tidak dipersetujui oleh pimpinan Umno Bahagian Jempol.

Apakah MIC merasakan peluang untuk kembali merampas dan memenangi Parlimen Telok Kemang berada dalam laluan sukar buat mereka? Persaingan di Telok Kemang dikalangan komponen BN dikhabarkan sengit kerana PPP juga ada hasrat untuk bertanding di Telok Kemang dan Dun Port Dickson.

Penternak Saman Kerajaan RM1 juta!

SEREMBAN 21 Sept. - Tiga penternak lembu hari ini bertindak memfailkan saman RM1 juta terhadap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana mendakwa ternakan mereka terjejas selepas dibekalkan enam ekor lembu yang dijangkiti penyakit kuku dan mulut.

K. Tamilselvan, C.P. Krishnan dan M. Nganersegaran, (Gambar)dari Jempol dekat sini selaku pihak plaintif memfailkan saman tersebut melalui dua peguam mereka, T. Kumar dan Abdul Nasir Abdul Aziz di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam saman tersebut, mereka menamakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan dan Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Soeraya Norsham sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Turut disenarai sebagai defendan keempat hingga keenam ialah Penolong Ketua Pengarah jabatan yang sama, Dr. Salmiyah Tahir bersama dua kakitangannya, Mohamad Abdullah dan Latip Yasim.

Kumar memberitahu pemberita, anak guamnya mengambil tindakan itu kerana tertekan dengan tindakan pihak defendan yang gagal memberikan rawatan awal terhadap enam ekor lembu yang diterima daripada Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu Gemencheh menerusi program Ternakan Bekalan Trust 2010 pada 16 Disember tahun lalu.

Katanya, selepas enam hari menerima haiwan tersebut, anak guamnya yang masing-masing menerima dua ekor lembu mendapati ternakan itu menunjukkan simptom dijangkiti penyakit mulut berbuih, berair dan tidak boleh makan lalu memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Jempol untuk diperiksa.

''Pada 27 Disember 2010, Jabatan Perkhidmatan Haiwan mengesahkan enam ekor lembu berkenaan positif dijangkiti penyakit kuku dan mulut tetapi mereka gagal memberikan rawatan yang sesuai hingga menyebabkan haiwan berkenaan mati.

''Malah, penyakit itu turut menjangkiti haiwan ternakan lain milik plaintif sehingga menyebabkan kematian haiwan-haiwan terbabit,'' katanya.

Berikutan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas sebanyak RM842,000 bagi sejumlah 147 ekor lembu yang mati selepas dijangkiti penyakit itu, ganti rugi kehilangan pendapatan daripada hasil tenusu sehingga Mei 2011 (RM88,000) dan kos perubatan (RM21,000).

Selain itu, mereka menuntut ganti rugi am, faedah lapan peratus di atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh dan kos guaman.