Oleh Faizal Ezzany
SEREMBAN 10 Ogos - Seramai 766 orang peneroka Rancangan Felda Serting Hilir dan Gugusan Raja Alias mengemukakan tuntutan saman berjumlah RM200 juta terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Mahkamah Tinggi Seremban 2 semalam.
Ini merupakan saman ketiga ke atas Felda daripada golongan peneroka setelah dua saman dikemukakan sebelum ini oleh peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan dan peneroka Felda Moakil Labis, Johor.
Tuntutan saman difailkan pada pukul 10.45 pagi melalui peguam Sivarasa Rasiah dan Latheefa Koya.
Sivarasa adalah Ahli Parlimen dan Naib Presiden KEADILAN manakala Latheefa adalah Ketua Penerangan KEADILAN.
Dalam sidang media diperkarangan mahkamah, Sivarasa berkata tindakan ini diambil setelah meneliti kes di Felda Kemahang 3 Kelantan di mana didapati wujud penipuan berhubung kadar perahan gred (KPG) ke atas peneroka.
"Setelah meneliti kes yang berlaku di Kelantan serta kajian yang telah dilakukan oleh peneroka terhadap KPG mendapati terdapat unsur penipuan telah berlaku pada KPG yang mana kesemua peneroka telah ditipu oleh Felda sejak dari mula mereka memasuki tanah Felda ini.
"Peneroka menghantar hasil kutipan sawit mentah mereka ke kilang kelapa sawit kepunyaan Felda di Serting dan Serting hilir, apabila kutipan di bawa dalam lori, ianya ditimbang setelah pengasingan dibuat mengikut kualiti tandan dibuat iaitu samada ianya busuk, kosong, mengkal, panjang, kotor dura dan sebagainya.
"Berat yg ditimbang kemudiannya dibayar mengikut Kadar Perahan Gred (KPG) yang telah tertera di atas satu dokumen bernama akuan penerimaan Berat Timbang Sawit (BTS) pada setiap timbangan atas setiap lori pada setiap kali penghantaran. KPG yang tertera di atas akuan BTS tersebut adalah 16 peratus hingga 19 peratus. KPG ini bertukar-tukar pada setiap masa dan peneroka tidak mengetahui bagaimana peratusan KPG ini ditetapkan setiap kali penghantaran.
"Pada 10 Feb 2010, peneroka telah menghantar sampel tandan ke makmal Sime Darby Research Sdn Bhd untuk tujuan KPG dan hasil ujian menunjukkan bahwawa KPG adalah 24.1 peratus manakala pada 19 Julai 2010 peneroka telah menghantar sampel tandan ke makmal Felda Analytical Laboratory dan hasil ujian menunjukkan KPG adalah 25.57 peratus`.
"Oleh kerana memandangkan bahawa hasil ujian kedua-dua makmal secara rawak dan bebas menunjukkan KPG jauh lebih tinggi iaitu di antara 24 peratus hingga 25.5 peratus berbanding dengan KPG yang tertera di atas akaun penerimaan BTS yang dikeluarkan oleh defendan kedua iaitu antar 16 peratus hingga 19 peratus maka plantif mendapati wujudnya penipuan (fraud) atau konspirasi untuk melakukan penipuan dalam urusan jual beli hasil buah sawit oleh Felda bagi pihak peneroka.
"Tindakan ini jelas wujud penipuan yang dilakukan dengan sengaja dan niat jahat, merendahkan gred sawit sehingga menyebabkan peneroka tidak mendapat hasil yang setimpal dengan usaha yang mereka lakukan," jelas Sivarasa.
Tambah beliau kesemua peneroka terbabit menamakan Felda dan anak syarikat, Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defendan, selain itu juga Felda telah lama melaku penyelewengan dan penipuan terhadap peneroka di kedua-dua Rancangan Felda tersebut.
"Bagi saya ini adalah satu penipuan dan juga pecah amanah yang dilakukan oleh Felda, kalau mengikut ujian yang dilakukan di kedua-dua makmal tersebut peneroka sepatutnya menerima hasil perahan minyak sebanyak 24 peratus hingga 25 peratus tetapi sikap Felda yang tidak jujur mereka hanya membayar peneroka atas 16 peratus hingga 19 peratus sahaja.
"Kita hari ini bercakap kerugian yang bernilai jutaan ringgit bukannya yang bernilai RM1, kita mempunyai dokumen yang membuktikan segala dakwaan itu benar dan tepat.
"Berdasarkan kiraan yang dibuat sebulan peneroka mengalami kerugian RM20,000, dalam tempoh 15 tahun 766 orang peneroka Felda di Serting mengalami kerugian RM229.8 juta, sebanyak itulah yang telah dikaut oleh Felda dari peneroka tanpa ada belas kasihan," jelasnya lagi.
Seorang peneroka, Karip Mohd Salleh yang menfailkan saman memberitahu tindakan penipuan yang dilakukan oleh Felda itu adalah tidak wajar.
"Tindakan Felda menipu kami selama ini adalah satu yang tidak dapat dimaafkan, kalau dulu kami tidak mendapat pembelaan tapi sekarang dengan barisan peguam dari Pakatan Rakyat dan juga Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), barulah kami peneroka ini rasa terbela. Kami mahu tuntut hak kami sebagai peneroka yang ditipu selama ini," kata Karip.
Selain Sivarasa dan Latheefa peneroka juga diwakili Suhaimi Said dan T Kumar.
Kira-kira 200 peneroka hadir di Mahkamah Tinggi Seremban 2 pagi semalam.
Sebelum ini Felda telah diarah membayar ganti rugi sebanyak RM11 juta kepada 354 peneroka dari Felda Kemahang 3 Kelantan setelah Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan dua hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Gopal Sri Ram sebulat suara menolak permohonan Felda untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang mengarahkan Felda membayar ganti rugi terhadap semua peneroka terbabit.
Pada 12 Jun lalu pula 654 peneroka Gugusan Felda Maokil, Labis memfailkan saman terhadap Felda bagi menuntut ganti rugi lebih RM80 juta.
Peneroka terbabit mengemukakan saman itu atas dakwaan Felda melakukan manipulasi gred sawit, sistem penolakan buah muda dan sistem pengambilan untung daripada minyak busuk yang menyebabkan mereka mengalami kerugian selama 17 tahun.
No comments:
Post a Comment