Tuesday, November 29, 2011

Analisa PRU-13: PKR harus diberi laluan di Terengganu

Perkhabaran yang dilaporkan oleh media massa kawalan BN yang memperlihatkan rundingan kerusi PR tidak dalam suasana aman, dipenuhi dengan kecaman sesama sendiri dan seakan wujud ketidaksefahaman antara komponen PR.

Namun, dalam rundingan kerusi pertentangan pendapat dan pandangan adalah perkara lumrah asalkan ia berakhir dengan suatu kata putus yang sepakat.

Walaupun menyentuh jauh di pantai timur semenanjung, ada perkhabaran-perkhabaran tidak rasmi menyatakan keengganan PAS Terengganu memberi laluan kepada PKR bertanding sekurang-kurangnya 10-15 kerusi dun. Ia agak mengejutkan dan diharap dapat diselesaikan secara muafakat.

Secara fakta, Terengganu mempunyai 32 kerusi dun dan lapan kerusi parlimen. PAS memenangi lapan kerusi dun dan selebihnya oleh Umno-BN (MCA menang di dun Bandar).

Jika PAS mahukan kemenangan dan menubuhkan kerajaan negeri di Terengganu, seharusnya muafakat PR itu wajar diperkukuhkan dengan memberi laluan PKR bertanding di banyak kerusi dun. Jika rakyat Terengganu boleh memilih Umno (yang tidak Islamik, nasionalis Melayu) adalah tidak mustahil bagi rakyat Terengganu untuk memilih PKR yang bersifat multiracial dan moderate (pertengahan) iaitu duduk di antara Umno dan PAS.

PAS Terengganu seharusnya tidak perlu merasa tergugat atas permintaan demokratik PKR Terengganu. Ia wajar dilakukan demi mencapai kemenangan bergaya PR di Terengganu. Seandainya PAS berjaya mengekalkan kemenangan lapan dun sediada, harapan menambah kemenangan sewajarnya datang dari PKR. Tambahan sembilan lagi kerusi sekiranya diberi kepada PKR memungkin sebuah kerajaan negeri baru bakal ditubuhkan selepas PRU-13 akan datang.

Akan tetapi jika PAS Terengganu tetap kekal dengan 'ketegasan' atau kedegilan, maka matlamat kemenangan untuk menubuhkan kerajaan negeri akan terus menjadi mimpi dan PAS akan kekal sebagai pembangkang di Terengganu.


No comments: