Sunday, October 9, 2011

Bibit-bibit PRU 13 kian menghampiri!

Kerancakan Perdana Menteri, Najib Razak turun ke padang sejak bulan raya Aidilfitiri lalu cukup menyakinkan khabar-khabar angin politik yang mengatakan PRU-13 bakal berlaku dalam masa terdekat ini.

Lebih-lebih lagi kemunculan secara 'mengejut' Najib yang sebenarnya dirancang di konti-konti radio, konsert Suara Kami, program berbasikal di Georgetown. Ini adalah sasaran buat pengundi-pengundi muda. Namun, apakah kaedah-kaedah itu memperlihatkan Najib 'cool' di mata fikiran orang-orang muda?

Selepas mengadakan program Rumah Terbuka Hari Raya Malaysia di Permatang Pauh, Najib seterusnya bertumpu di Selangor dengan turun di kawasan-kawasan tumpuan yang cuba memberi isyarat kepada PR bahawa Selangor telah siap sedia akan ditawan oleh BN!

Semalam dalam Majlis Penerangan BN Wilayah Persekutuan, ucapan Najib seakan-akan memberi isyarat bahawa PRU-13 tidak lama sahaja lagi. Ia seakan melayangkan gambaran agar semua orang-orang politik bermain teka-teki kemunculan PRU-13! Sangat menarik tingkah laku Najib tersebut dan TV3 memaparkan lebih daripada 10 minit ucapan beliau tersebut. Apakah maksudnya itu?

PR harus bersiap sedia dan memperkuatkan jentera mulai sekarang. Usah ditunggu sehingga saat-saat akhir untuk memulakan rentak perlawanan. Rentak itu seharusnya telah siap dirangka untuk dipergerakkan bagi menghadapi permainan yang bakal berlaku dalam masa terdekat ini.

PKR Jempol telah menyiapkan diri untuk menghadapi perlawanan PRU-13 ini. Mungkin BN masih memperkecilkan usaha-usaha tersebut dan PKR Jempol juga tidak memandang rendah keupayaan BN mempertahankan kemenangan mereka di Jempol.

Friday, October 7, 2011

Khabar Pilihanraya: MIC N.Sembilan mahu tukar bertanding di Parlimen Jempol?

BN Negeri Sembilan khususnya parti-parti komponen seperti MIC dan MCA telah mempersiapkan strategi dan gerak kerja untuk merampas kawasan-kawasan yang tewas dalam PRU 2008 lalu.

Maklumat-maklumat tidak rasmi ada menyebut MCA telah bertumpu di Dun Lobak, Temiang, Rahang, Senawang dan Repah manakala MIC dikatakan sedang memperkukuhkan jenteranya di Port Dickson.

Walaupun ia maklumat tidak rasmi, lebih 1,500 pemilih luar telah dipindahkan ke Lobak dan dikenalpasti pengundi yang bakal membantu kemenangan calon MCA di Lobak akan datang. Begitu juga dengan peningkatan jumlah pemilih pos di Dun Temiang. Kemenangan tipis DAP di Temiang mungkin akan digugat dengan adanya 'undi bantuan' yang dirancang oleh jentera BN.

Ada perkhabaran menyebut kemungkinan BN akan berjaya merampas dan memenangi beberapa dun seperti Temiang, Rahang dan Senawang. Perkhabaran ini perlu diambil serius oleh jentera PR Negeri Sembilan bagi mengukuhkan gerak kerja di kawasan-kawasan terbabit.

Maklumat tidak rasmi juga ada menyebut MIC Negeri Sembilan berhasrat untuk bertanding di Parlimen Jempol dan menyerahkan Parlimen Telok Kemang kepada Umno. Walaubagaimanapun, hasrat MIC itu tidak dipersetujui oleh pimpinan Umno Bahagian Jempol.

Apakah MIC merasakan peluang untuk kembali merampas dan memenangi Parlimen Telok Kemang berada dalam laluan sukar buat mereka? Persaingan di Telok Kemang dikalangan komponen BN dikhabarkan sengit kerana PPP juga ada hasrat untuk bertanding di Telok Kemang dan Dun Port Dickson.

Penternak Saman Kerajaan RM1 juta!

SEREMBAN 21 Sept. - Tiga penternak lembu hari ini bertindak memfailkan saman RM1 juta terhadap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana mendakwa ternakan mereka terjejas selepas dibekalkan enam ekor lembu yang dijangkiti penyakit kuku dan mulut.

K. Tamilselvan, C.P. Krishnan dan M. Nganersegaran, (Gambar)dari Jempol dekat sini selaku pihak plaintif memfailkan saman tersebut melalui dua peguam mereka, T. Kumar dan Abdul Nasir Abdul Aziz di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam saman tersebut, mereka menamakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan dan Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Soeraya Norsham sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Turut disenarai sebagai defendan keempat hingga keenam ialah Penolong Ketua Pengarah jabatan yang sama, Dr. Salmiyah Tahir bersama dua kakitangannya, Mohamad Abdullah dan Latip Yasim.

Kumar memberitahu pemberita, anak guamnya mengambil tindakan itu kerana tertekan dengan tindakan pihak defendan yang gagal memberikan rawatan awal terhadap enam ekor lembu yang diterima daripada Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu Gemencheh menerusi program Ternakan Bekalan Trust 2010 pada 16 Disember tahun lalu.

Katanya, selepas enam hari menerima haiwan tersebut, anak guamnya yang masing-masing menerima dua ekor lembu mendapati ternakan itu menunjukkan simptom dijangkiti penyakit mulut berbuih, berair dan tidak boleh makan lalu memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Jempol untuk diperiksa.

''Pada 27 Disember 2010, Jabatan Perkhidmatan Haiwan mengesahkan enam ekor lembu berkenaan positif dijangkiti penyakit kuku dan mulut tetapi mereka gagal memberikan rawatan yang sesuai hingga menyebabkan haiwan berkenaan mati.

''Malah, penyakit itu turut menjangkiti haiwan ternakan lain milik plaintif sehingga menyebabkan kematian haiwan-haiwan terbabit,'' katanya.

Berikutan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas sebanyak RM842,000 bagi sejumlah 147 ekor lembu yang mati selepas dijangkiti penyakit itu, ganti rugi kehilangan pendapatan daripada hasil tenusu sehingga Mei 2011 (RM88,000) dan kos perubatan (RM21,000).

Selain itu, mereka menuntut ganti rugi am, faedah lapan peratus di atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh dan kos guaman.

Wednesday, September 28, 2011

Jamuan Aidilfitri KEADILAN Jempol & Perasmian Bilik gerakan Pilihanraya Dun Palong


Tarikh program: 25 September 2011 / Ahad
Tetamu kehormat:
YB Saifuddin Nasution Ismail (setiausaha agung PKR)
YB Dato' Kamarul Baharin Abbas (Pengerusi PKR N.Sembilan)
Hj Suhaimi Said (Pengerusi Biro Peneroka Felda & Orang Asal PKR)
Rebin Birham (Pengarah Pilihanraya Dun Palong)

Pengisian:

Jamuan Hari Raya Adilfitri KEADILAN Jempol bersama masyarakat Palong 9
Ini adalah sambutan julung kali diadakan di Palong 9 sempena hari raya Aidilfitri. Seluruh kepimpinan PKR Negeri Sembilan dan Cabang Jempol bersama masyarakat setempat turut sama hadir memeriahkan majlis tersebut.


Perasmian Bilik Gerakan Pilihanraya Dun Palong

Setiausaha Agung PKR, YB Saifuddin Nasution Ismail berkenan merasmikan pelancaran Bilik Gerakan Pilihanraya Dun Palong yang bertempat di Palong 9. Kehadiran beliau adalah gambaran jelas KEADILAN akan mengempur secara hebat kawasan tersebut untuk dimenangi dalam PRU-13 akan datang.


Majlis Penyerahan Beramai-ramai Borang Penyertaan Keanggotaan PKR oleh anak-anak muda Palong 9

Majlis malam tersebut turut diserikan dengan penyerahan beramai-ramai borang permohonan keanggotaan anak-anak muda Palong menyertai PKR. Suasana tersebut adalah isyarat penting dan jelas bahawa anak-anak muda kawasan Felda sudah mula beralih sokongan demi kebaikan masa depan mereka.

Monday, January 24, 2011

Menang Jempol Bermakna Negeri Sembilan Ditawan PR

Pakatan Rakyat Negeri Sembilan menyedari untuk memenuhi matlamat Menawan Negeri Sembilan PRU-13, kawasan-kawasan Felda harus ditembusi yang merupakan kubu kuat BN di Semenanjung selain Sabah dan Sarawak.

Apakah matlamat PR Negeri Sembilan itu cuma suatu ilusi? Adakah stigma kawasan Felda sebagai kubu kuat BN tidak mampu diubah?

Parlimen Jempol terdiri daripada 60% kawasan Felda yang terbentang luas dari utara Jempol mengunjur luas ke timur dan selatan Jempol. Terdapat empat DUN dalam Parlimen Jempol iaitu Serting, Jeram Padang, Palong dan Bahau.

Hanya DUN Bahau berjaya dimenangi oleh PR melalui parti DAP. Jeram Padang dimenangi oleh BN dengan majoriti bawah dua ribu undi, memberi potensi baik kepada PR melalui PKR untuk memenanginya pada PRU-13. Sementara Serting dan Palong masih kekal kepada BN dengan majoriti kemenangan yang agak tinggi.

Namun, usaha-usaha menangani permasalahan para peneroka Felda telah diberi keutamaan bagi mengubah perspekstif pemikiran rakyat di Jempol supaya menyedari hak-hak mereka. Penyelewengan yang sekian lama dijalankan oleh Felda melalui pelbagai kaedah muslihat telah memerangkap kebanyakan peneroka tanpa menyedari penipuan sedang berlaku!

Kerjasama antara komponen PR Negeri Sembilan Jempol dalam menggerakkan usaha pembelaan para peneroka Felda sejak tahun 2009 lalu telah membangkitkan gerun kepada BN walaupun menafikannya. Warga Felda Perihatin telah bergerak masuk ke kawasan-kawasan Felda untuk mengadakan sesi dialog dan perbincangan bagi menerangkan penyelewengan Felda.

Hasil gerakan yang diketuai oleh Saudara Rebin Birham, T. Kumar dan Karip Salleh telah menyatukan lebih 700 peneroka dari Felda Serting Hilir dan Felda Raja Alias memfailkan saman kepada Felda berkaitan isu penyelewengan gred perahan minyak sawit di Mahkamah Tinggi Seremban pada 10 Ogos 2010. Kebanyakan peneroka yang terlibat adalah ahli-ahli Umno yang telah sedar betapa hak mereka telah dinafikan oleh Felda.

Langkah itu tidak terhenti di situ sahaja, seterusnya pada awal bulan Januari 2011 seramai 30 peneroka dari Felda Palong 9 telah memfailkan saman kepada sebuah syarikat kontraktor Felda berkaitan penebangan kayu getah tua.

Gerakan aktif Warga Felda Perihatin telah dilihat sebagai ancaman oleh BN dan Felda. Pihak pengurusan Felda telah mengedarkan risalah-risalah yang cuba menafikan penyelewengan-penyelewengan yang didedahkan oleh Warga Felda Perihatin. Malah, jika pihak PR ingin mengadakan ceramah perlu meminta surat kebenaran Pengurus Rancangan sedangkan pihak berkuasa tidak punya masalah memberi kebenaran permit ceramah. Ini satu tindakan sekatan yang telah digerakkan oleh BN bagi menghalang gelombang perubahan di kawasan-kawasan Felda.

Sejarah harus diimbas sebagai pedoman. Pada PRU tahun 1999, DUN Jengka telah berjaya ditawan oleh PAS yang diketahui sebagai 100% kawasan Felda. Begitu juga dalam PRU tahun 2004, di DUN Pertang PKR telah menang di Daerah Mengundi Pasoh 4 yang juga kawasan 100% Felda. Jadi, tidak ada yang mustahil untuk meraih kemenangan buat PR. Semoga imbasan ringkas ini akan memberi suatu semangat kepada jentera pilihanraya PR NS di Jempol untuk melaksanakan matlamat menawan negeri ini.

Tuesday, August 10, 2010

Selamat Berpuasa

Parti Keadilan Rakyat Cabang Jempol mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh anggota parti dan rakyat di Jempol.

Semoga dengan kehadiran bulan Ramadhan yang mulia ini akan dapat menguatkan lagi semangat perjuangan semua anggota parti termasuk para peneroka yang telah sama-sama berjuang menuntut hak mereka baru-baru ini.
Semangat Perang Badar yang berlangsung dalam bulan Ramadhan yang dilalui oleh umat terdahulu akan menjadi satu pencetus dan kesinambungan perjuangan PKR khususnya di Jempol dalam matlamat menawan Negeri Sembilan dalam PRU-13 nanti.

Peneroka Serting & Raja Alias Saman Felda RM200 juta!


Oleh Faizal Ezzany


SEREMBAN 10 Ogos - Seramai 766 orang peneroka Rancangan Felda Serting Hilir dan Gugusan Raja Alias mengemukakan tuntutan saman berjumlah RM200 juta terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Mahkamah Tinggi Seremban 2 semalam.


Ini merupakan saman ketiga ke atas Felda daripada golongan peneroka setelah dua saman dikemukakan sebelum ini oleh peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan dan peneroka Felda Moakil Labis, Johor.


Tuntutan saman difailkan pada pukul 10.45 pagi melalui peguam Sivarasa Rasiah dan Latheefa Koya.


Sivarasa adalah Ahli Parlimen dan Naib Presiden KEADILAN manakala Latheefa adalah Ketua Penerangan KEADILAN.


Dalam sidang media diperkarangan mahkamah, Sivarasa berkata tindakan ini diambil setelah meneliti kes di Felda Kemahang 3 Kelantan di mana didapati wujud penipuan berhubung kadar perahan gred (KPG) ke atas peneroka.


"Setelah meneliti kes yang berlaku di Kelantan serta kajian yang telah dilakukan oleh peneroka terhadap KPG mendapati terdapat unsur penipuan telah berlaku pada KPG yang mana kesemua peneroka telah ditipu oleh Felda sejak dari mula mereka memasuki tanah Felda ini.


"Peneroka menghantar hasil kutipan sawit mentah mereka ke kilang kelapa sawit kepunyaan Felda di Serting dan Serting hilir, apabila kutipan di bawa dalam lori, ianya ditimbang setelah pengasingan dibuat mengikut kualiti tandan dibuat iaitu samada ianya busuk, kosong, mengkal, panjang, kotor dura dan sebagainya.


"Berat yg ditimbang kemudiannya dibayar mengikut Kadar Perahan Gred (KPG) yang telah tertera di atas satu dokumen bernama akuan penerimaan Berat Timbang Sawit (BTS) pada setiap timbangan atas setiap lori pada setiap kali penghantaran. KPG yang tertera di atas akuan BTS tersebut adalah 16 peratus hingga 19 peratus. KPG ini bertukar-tukar pada setiap masa dan peneroka tidak mengetahui bagaimana peratusan KPG ini ditetapkan setiap kali penghantaran.


"Pada 10 Feb 2010, peneroka telah menghantar sampel tandan ke makmal Sime Darby Research Sdn Bhd untuk tujuan KPG dan hasil ujian menunjukkan bahwawa KPG adalah 24.1 peratus manakala pada 19 Julai 2010 peneroka telah menghantar sampel tandan ke makmal Felda Analytical Laboratory dan hasil ujian menunjukkan KPG adalah 25.57 peratus`.


"Oleh kerana memandangkan bahawa hasil ujian kedua-dua makmal secara rawak dan bebas menunjukkan KPG jauh lebih tinggi iaitu di antara 24 peratus hingga 25.5 peratus berbanding dengan KPG yang tertera di atas akaun penerimaan BTS yang dikeluarkan oleh defendan kedua iaitu antar 16 peratus hingga 19 peratus maka plantif mendapati wujudnya penipuan (fraud) atau konspirasi untuk melakukan penipuan dalam urusan jual beli hasil buah sawit oleh Felda bagi pihak peneroka.


"Tindakan ini jelas wujud penipuan yang dilakukan dengan sengaja dan niat jahat, merendahkan gred sawit sehingga menyebabkan peneroka tidak mendapat hasil yang setimpal dengan usaha yang mereka lakukan," jelas Sivarasa.


Tambah beliau kesemua peneroka terbabit menamakan Felda dan anak syarikat, Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defendan, selain itu juga Felda telah lama melaku penyelewengan dan penipuan terhadap peneroka di kedua-dua Rancangan Felda tersebut.


"Bagi saya ini adalah satu penipuan dan juga pecah amanah yang dilakukan oleh Felda, kalau mengikut ujian yang dilakukan di kedua-dua makmal tersebut peneroka sepatutnya menerima hasil perahan minyak sebanyak 24 peratus hingga 25 peratus tetapi sikap Felda yang tidak jujur mereka hanya membayar peneroka atas 16 peratus hingga 19 peratus sahaja.


"Kita hari ini bercakap kerugian yang bernilai jutaan ringgit bukannya yang bernilai RM1, kita mempunyai dokumen yang membuktikan segala dakwaan itu benar dan tepat.


"Berdasarkan kiraan yang dibuat sebulan peneroka mengalami kerugian RM20,000, dalam tempoh 15 tahun 766 orang peneroka Felda di Serting mengalami kerugian RM229.8 juta, sebanyak itulah yang telah dikaut oleh Felda dari peneroka tanpa ada belas kasihan," jelasnya lagi.


Seorang peneroka, Karip Mohd Salleh yang menfailkan saman memberitahu tindakan penipuan yang dilakukan oleh Felda itu adalah tidak wajar.


"Tindakan Felda menipu kami selama ini adalah satu yang tidak dapat dimaafkan, kalau dulu kami tidak mendapat pembelaan tapi sekarang dengan barisan peguam dari Pakatan Rakyat dan juga Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), barulah kami peneroka ini rasa terbela. Kami mahu tuntut hak kami sebagai peneroka yang ditipu selama ini," kata Karip.


Selain Sivarasa dan Latheefa peneroka juga diwakili Suhaimi Said dan T Kumar.


Kira-kira 200 peneroka hadir di Mahkamah Tinggi Seremban 2 pagi semalam.


Sebelum ini Felda telah diarah membayar ganti rugi sebanyak RM11 juta kepada 354 peneroka dari Felda Kemahang 3 Kelantan setelah Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan dua hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Gopal Sri Ram sebulat suara menolak permohonan Felda untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang mengarahkan Felda membayar ganti rugi terhadap semua peneroka terbabit.


Pada 12 Jun lalu pula 654 peneroka Gugusan Felda Maokil, Labis memfailkan saman terhadap Felda bagi menuntut ganti rugi lebih RM80 juta.


Peneroka terbabit mengemukakan saman itu atas dakwaan Felda melakukan manipulasi gred sawit, sistem penolakan buah muda dan sistem pengambilan untung daripada minyak busuk yang menyebabkan mereka mengalami kerugian selama 17 tahun.