PKR Jempol berhasrat untuk bertanding di Parlimen Jempol. Walaupun Parlimen Jempol terletak di kawasan pedalaman Negeri Sembilan dan dikelilingi lebih 60 peratus kawasan Felda dan ladang, pecahan pemilih berdasarkan kaum memperlihatkan Parlimen Jempol adalah kawasan campuran.
Parlimen Jempol mempunyai 57.52 peratus pemilih Melayu, Cina (27.54%), India (13.86%), Orang Asli (0.89%) dan Lain-lain (0.20%). Pecahan tersebut menggambarkan Jempol merupakan kawasan campuran kerana pemilih Melayu berada di bawah paras 60 peratus.
Negeri Sembilan keseluruhannya mempunyai lapan parlimen dengan empat kawasan campuran (pemilih Melayu bawah 60%) iaitu Rasah, Seremban, Telok Kemang dan Jempol. Manakala empat lagi kawasan adalah kawasan majoriti Melayu iaitu Jelebu, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin. Pada PRU 2008, Jempol telah ditandingi oleh Pas.
Secara ringkas, sekiranya faktor perolehan undi popular calon Pas untuk Parlimen Jempol diambilkira dan dibandingkan dengan perolehan undi popular calon-calon peringkat Dun, terdapat jurang yang besar khususnya di Jeram Padang, Palong dan Bahau kerana perolehan undi popular calon-calon Dun lebih tinggi berbanding calon Pas di parlimen.
Ada dua perkara yang mungkin dapat dikongsikan sebagai membuka perspektif politik yang lebih luas demi kebaikan semua komponen PR. Pertama, calon memainkan peranan yang penting. Faktor itu juga dilihat menjadi sebab perbezaan undi popular calon Dun dan Parlimen agak ketara bezanya, jika dalam margin yang kecil itu tidak menjadi persoalan besar.
Contoh itu dilihat antara Dun Palong (pemilih Melayunya adalah 89.52%) yang dianggap sebagai 'killing zone' kepada pembangkang untuk menang. Perolehan undi calon PKR Dun Palong adalah 2725 undi, manakala jumlah undi yang diterima oleh calon Pas Parlimen Jempol di Palong adalah 1739 undi. Beza undi antara calon dun dan parlimen adalah 986 undi. Ini jelas menunjukkan walaupun bertanding di 'killing zone' ditambah pula kawasan Palong adalah Dun yang mempunyai pemilih Melayu tertinggi di dalam Parlimen Jempol, PKR mampu memperolehi lonjakan undi yang lebih baik berbanding Pas. Itu belum lagi mengambil kira perolehan undi di Jeram Padang, Bahau dan Serting.
Perkara kedua adalah parti mana yang dilihat lebih berkeupayaan untuk memenangi sesuatu kawasan. Kemenangan di Parlimen Jempol secara teorinya mampu dizahirkan sekiranya Pas memberi laluan kepada PKR bertanding di parlimen.
Perkara ini tidak boleh dinilai dengan emosi dan perasaan semata-mata. Hakikat kemenangan perlu dinilai dengan sikap politik yang terbuka sebagai meluaskan perspektif agar tidak dikusutkan dengan sentimen-sentimen yang mengecilkan perimeter berfikir. Maka di situlah akan memantapkan kesepakatan dan persefahaman sebagaimana yang dituntut oleh ajaran Islam.
No comments:
Post a Comment